SAN MARCOS (Guatemala): Satu gempa bumi berukuran 7.4 magnitud
melanda barat daya negara ini semalam, membunuh 48 orang dan
mencederakan 150 yang lain, sementara ramai lagi yang masih hilang di
dalam runtuhan puluhan kediaman.
Gempa bumi itu turut menggegarkan negara jiran Mexico dan El
Salvador, mencetuskan amaran tsunami di pantai Salvador dan perpindahan
keluar dari pejabat, kediaman dan sekolah hingga sejauh ke utara di
bandar raya Mexico.
“Kami meratapi kematian 48 penduduk, angka yang
mungkin akan bertambah kerana masih ada 23 orang lagi yang masih
hilang,” kata Presiden Otto Perez di ibu negara Guatemala selepas
melawat kawasan bencana. Sebelum itu dia melaporkan angka kematian pada
39 orang.
Di Kampung San Cristobal Cucho, sebuah keluarga seramai 10 orang mati apabila kediaman mereka tertimbus dalam timbunan batu dan tanah yang runtuh dari sebuah bukit selepas gempa, kata datuk bandar Pedro Cardona.
“Keseluruhan kampung masih berkabung kerana seluruh keluarga
terkorban akibat bencana daripada Tuhan,” katanya dalam televisyen
tempatan. Mayat sepasang suami isteri dan enam anak mereka berusia
empat hingga 15 tahun bergelimpangan di jalan raya hingga ke waktu malam
menunggu untuk diuruskan petugas. Seramai 16,000 orang terjejas
akibat gempa itu. Beberapa bandar kekurangan air minum atau bekalan
elektrik ekoran kejadian gempa paling kuat di negara itu sejak 1976
apabila hampir 23,000 maut. - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan