09 November 2012

Lima kali rumah dinaiki air

24 Zulhijjah 1433H. [MOD] -

Azni Aziz
Azni menunjukkan paras air yang memasuki rumahnya ketika banjir.
 
TRIANG - Seorang penduduk di Kampung Triang di sini kesal apabila sebuah jabatan kerajaan dikatakan gagal menunaikan janji memberikan wang bantuan sebanyak RM200 setiap kali rumahnya dilanda banjir.
Azni Aziz, 37, berkata, sejak menduduki rumah itu dua tahun lalu, sudah lima kali iadinaiki air.

“Semasa kali pertama banjir, saya membuat laporan dan pegawai jabatan berkenaan berkata saya boleh mendapatkan bantuan wang tunai RM200.

“Setelah lima kali berlaku banjir, saya masih lagi membuat perkara yang sama iaitu membuat laporan tetapi sehingga kini saya tidak menerima sebarang bantuan wang tunai,” katanya.

Menurutnya,  terbaru, pada 3 November lalu rumahnya dinaiki air lagi dan perkara itu disedari pada jam 8 malam.

"Air naik hingga ke paras lutut, saya terpaksa memindahkan peralatan dan perabot ke tempat lebih tinggi.
“Selalunya barangan elektrik yang menjadi mangsa seperti mesin basuh, peti ais dan sebagainya. Saya terpaksa membeli yang baru selepas banjir,” katanya.

Azni berkata, selepas banjir  mereka sekeluarga juga terpaksa membersihkan lumpur yang masuk ke dalam rumahnya.

Sementara itu, bapa mertuanya, Jemoros Mohamad, 64, berkata, saliran longkang yang tidak diselenggara menjadi punca banjir berlaku.

“Apabila banjir, seluruh halaman rumah dinaiki air. Kawasan longkang depan rumah ini tidak dikorek dan sudah ditutupi tanah.

“Oleh itu, air tidak dapat mengalir. Apabila hujan lebat air mudah naik dan menyebabkan banjir,” katanya.
Azni berkata, pihak berkuasa diharap mengambil tindakan termasuk mengorek semula longkang di hadapan rumahnya.

“Saya minta masalah ini diselesaikan segera supaya penduduk tidak terus menanggung kerugian,” katanya kepada Sinar Harian.

sinar/-

Tiada ulasan: