24 Zulhijjah 1433H. [MOD] -
Rakyat
perlu diberikan sepenuh pengetahuan dan fakta tentang isu pembelian
kapal selam Scorpene yang tidak habis-habis diperkatakan sekarang ini.
Isu ini wajar diberikan perhatian oleh kerajaan dan ‘law-makers’ negara
kerana ini merupakan satu skandal yang teramat besar yang melibatkan
wang rakyat. Ia juga hampir sama besar dengan skandal PKFZ yang
melibatkan pimpinan BN dan berkaitan dengan beberapa Menteri dalam
pentadbiran Dr Mahathir dan Abdullah Badawi.
Ia berkaitan dengan pemimpin-pemimpin kerajaan dan oleh kerana ia
melibatkan pihak yang berkuasa, ia amat susah untuk ditampilkan dengan
setelus-telusnya kepada penghakiman rakyat. Saya mengajak seluruh rakyat
yang berbilang kaum di negara ini untuk memberikan perhatian serius dan
mengamati dengan sesungguh-sungguhnya isu-isu ini kerana rakyat sudah
tidak tertanggung lagi kelakuan pihak-pihak yang begitu jahil dan tidak
menganggap mengambil rasuah sebagai satu jenayah yang terlalu besar ini.
Mesti ada pihak yang terlibat. Ia tidak boleh dinafikan dengan alasan
tiada bukti kukuh dan sebagainya. Kita juga mahukan bukti yang wang itu
tidak dibelanjakan seperti yang dituduh jika alasan tiada bukti itu
menjadi alasan untuk menutup kes-kes seperti ini. Kita tidak mahu
berlaku seperti kes PKFZ yang sedang dalam penghakiman mahkamah dengan
alasan tiada kes penipuan seperti yang disebut oleh Dr Mahathir tetapi
pihak defendant (kerajaan) wajar juga membuktikan yang wang sejumlah
yang disebut dalam isu ini tidak dibelanjakan. Kita tidak mahu mendengar
dan menerima yang tiada kes seperti yang dituduh tetapi wang yang
begitu besar telah dibelanjakan.
Pada 22hb Nov ini, dua orang peguam Perancis akan tiba di Parlimen
Malaysia untuk memberikan taklimat kepada Parlimen Malaysia di atas
jemputan Ketua Pembangkang Malaysia, Saudara Anwar Ibrahim. Ahli
Parlimen Subang, Sivarasa, telah mengesahkan yang William Bourdon dan
Joseph Breman akan datang ke Malaysia untuk memberikan taklimat kepada
Parlimen Malaysia.
Rakyat mesti memberikan perhatian tentang isu sebesar ini. Kita
berharap tidak akan ada halangan-halangan yang akan dibuat oleh pihak
berkuasa kerajaan dan Parlimen kerana jika tidak ada elemen-elemen
rasuah seperti yang dituduh oleh sesetengah pihak itu, tidak ada sebab
ada pihak yang takut dan cuba menghalang kedua-dua peguam ini untuk
datang dan memberikan taklimat kepada rakyat Malaysia melalui
wakil-wakil mereka di Parlimen.
Kalau pihak yang dikaitkan dengan isu ini benar-benar tidak bersalah,
tidak ada sebab taklimat dua peguam ini kepada rakyat Malaysia ditolak
dan dihalang untuk memberikan taklimat ini dengan semudah-mudahnya.
Malahan pihak berkuasa, seperti Najib sendiri, mesti memberi segala
kerjasama kerana beliau boleh memberikan keyakinan kepada pihak-pihak
yang menuduh beliau terlibat itu mendapat kebenaran yang beliau adalah
sebersih-bersih pemimpin yang tidak langsung terbabit dengan isu rasuah
dalam pembelian kapal selam Scorpene ini.
Kita akan lihat, jika ada usaha pihak Parlimen dan kerajaan untuk
menghalang kehadiran kedua-dua peguam ini maka sekali gus rakyat akan
yakin yang Najib serta mereka yang menuduh itu ada kebenarannya.
Ketua pembangkang telah menulis surat kepada Menteri Dalam Negeri,
Hishamudin untuk meminta kepastian yang kemasukan kedua-dua peguam ini
ke Malaysia tidak dihalang dan Hisham sepatutnya memberikan jawapan ‘ya’
dengan secepat mungkin.
Kita semua ingin tahu pandangan dan penyiasatan yang dilakukan oleh
kedua-dua peguam Perancis ini kerana ia melibatkan wang rakyat dan moral
kepimpinan negara. Jika ada halangan dari pihak Kementerian Dalam
Negeri, maka jangan disalahkan rakyat ramai mengekalkan persepsi mereka
pucuk pimpinan kita benar-benar terlibat dengan kes Scorpene ini.
Jika perkara ini tidak diselesaikan, bagaimana Najib hendak
menunaikan janji untuk mentadbir negara dengan sebaik mungkin sedangkan
persepsi rakyat dan masyarakat antarabangsa memandang serong terhadap
beliau? Lagipun bagaimana Najib hendak meyakinkan rakyat yang jika PR
memerintah negara, negara akan bangkrap seperti yang beliau kata di
mana-mana dalam siri kempen beliau di seluruh negara?
Jika pimpinan BN lebih cenderung untuk menunjukkan kepada kami rakyat
di bawah ini yang mereka tidak jujur dengan menggunakan wang rakyat
dengan sewenang-wenangnya, bukankah pihak BN itu yang mempunyai lebih
kebarangkalian untuk menjadikan negara ini sebuah negara yang bankrap?
harakah/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan