09 November 2012

Samseng halang kontraktor baik pulih pangsapuri

24 Zulhijjah 1433H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Sehingga hari ini, hampir RM10 juta telah diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri Selangor untuk membaikpulih pangsapuri kos rendah yang melibatkan lebih 70 kawasan pangsapuri.

“Bilangan yang tinggi ini mungkin disebabkan kerana program Setinggan Sifar Kerajaan Barisan Nasional senelum ini di mana pangsapuri-pangsapuri kos rendah telah dibina dengan tergesa-gesa.
“Akibatnya adalah kediaman-kediaman yang rendah kualitinya telah dibina,” kata Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan negeri, Iskandar Abdul Samad (gambar) dalam satu kenyataan.

Beliau menyatakan demikian ekoran terdapat pemimpin-pemimpin BN yang mendakwa tidak ada rumah kos rendah yang dibina di Selangor pada zaman Pakatan Rakyat.

Menurutnya, mereka mendakwa hanya di bawah pentadbiran mereka beribu-ribu rumah kos rendah telah dibina tetapi statistik yang didedahkan oleh kerajaan negeri baru-baru ini menunjukkan dakwaan itu tidak benar.

Iskandar menegaskan, kerajaan negeri tidak pernah menafikan bahawa terdapat rumah kos rendah yang telah dibina di bawah BN.

Jelasnya, pemimpin Pakatan Rakyat tidak seperti pemimpin BN yang sentiasa menidakkan segala pencapaian kerajaan negeri walaupun ianya jelas di hadapan mata mereka.

Walau bagaimanapun, ujarnya adalah satu kenyataan bahawa rumah kos rendah yang dibina pada zaman BN, hari ini dibelenggu dengan pelbagai masalah.

“Di antara masalah-masalah tersebut adalah lif yg rosak, bumbung yang bocor, tangki air yang bocor, paip yang tersumbat, kemudahan awam yang tidak disediakan dan bangunan yang mulai usang,” jelasnya lagi.

Sehubungan itu, katanya kerajaan negeri telah pada bulan Disember 2010 mewujudkan satu program untuk membaikpulih kediaman-kediaman itu melalui kaedah perkongsian kos.

“Program ini dinamakan Program Baikpulih Negeri Berkebajikan atau Ceria.

“Di bawah program ini, kerajaan negeri akan menanggung 80 peratus dari kos baikpulih sementara penduduk menanggung 20 peratus. Bahagian penduduk ini pula boleh dibayar secara ansuran,” katanya.

Beliau menambah, oleh kerana permintaan orang ramai, program itu juga telah dibuka kepada pangsapuri kos sederhana di mana perkongsian kos di antara kerajaan dan penduduk adalah 60:40.

Katanya lagi, kerajaan negeri sentiasa berlaku adil di dalam memilih kawasan-kawasan pangsapuri yang hendak dibaikpulih.

Pemilihan, katanya dibuat di atas faktor-faktor keperluan dan jenis kerosakan yang berlaku.

“Kerajaan negeri membaikpulih tanpa mengira sama ada penduduk  pangsapuri itu menyokong kerajaan atau tidak,” katanya.

Walau bagaimanapun, ujar beliau kerajaan negeri berharap agar penduduk yang terlibat akan memberi kerjasama kepada kerajaan negeri yang mahu membantu mereka.

Ini, kata beliau ialah kerana terdapat pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab yang telah menggunakan samseng-samseng untuk menghalang kontraktor yang dilantik untuk melaksanakan kerja-kerja membaikpulih.

Tambahnya, terdapat juga mereka yang menghasut penduduk agar tidak menerima tawaran di bawah program Ceria itu.

“Program Ceria adalah untuk kepentingan rakyat dan tidak seharusnya dipolitikkan,” katanya.

harakah/-

Tiada ulasan: