12 April 2013

BN lantik 4,820 penceramah

1 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


Ahmad Maslan

Datuk Ahmad Maslan
SHAH ALAM – Barisan Nasional (BN) melantik 4,820 penceramah seluruh negara setakat ini khusus memberi penerangan Aku Janji BN dan isu semasa kepada rakyat menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang tinggal beberapa hari sahaja lagi.

Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan berkata, mereka yang dilantik terdiri daripada golongan yang pandai berceramah termasuk penceramah agama (ustaz dan ustazah), pesara dan lain-lain lagi sukarelawan yang mahu membantu perjuangan BN.

Menurutnya, penceramah yang terbabit akan memulakan tugas di kawasan Parlimen masing-masing di seluruh negara bermula semalam dan berakhir pada malam sebelum hari mengundi berlangsung.

“Hari ini (semalam) di negeri ini, kita adakan perjumpaan dengan 10 penceramah utama di setiap bahagian dan ia merupakan kali kedua di mana terdahulu (Mac) lalu kita telah menemui 10 orang, khas untuk memberi penerangan mengenai Aku Janji BN.

“Dalam pada itu, BN akan mengadakan perjumpaan ini  berperingkat di mana hari ini (semalam) kita telah lakukan secara serentak di empat negeri dan esok kita akan lancarkan lagi di lapan negeri antaranya Johor dan Melaka.

“Ini merupakan sesi kedua di mana pada sesi pertama pada Mac lalu, kita telah melantik 2,600 penceramah dan bagi hari ini (semalam) kita lantik lagi 2,220 menjadikan jumlah keseluruhan setakat ini adalah 4,820,” katanya ketika sidang media selepas Majlis Perjumpaan Bersama Penceramah BN di Bangunan Umno, di sini semalam.

Ahmad berkata, penceramah yang dilantik di Parlimen diarahkan untuk mengadakan 10 ceramah petang dan 10 ceramah malam setiap hari mengikut kemampuan masing-masing bagi menerangkan Aku Janji BN bukan menciplak manifesto pembangkang.

“Aku Janji BN bukan manifesto ciplak pembangkang kerana kita telah mentadbir negara ini sekian lama dan mempunyai kaedah sendiri untuk pembangunan rakyat,” katanya.

Sinar/-

Tiada ulasan: