12 April 2013

Dokumen pun Umno langgar, inikan janji mulut

1 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -



KOTA BHARU: Tak perlu kepada aku janji baru, tunaikan dahulu apa yang terkandung dalam perjanjian antara kerajaan Kelantan dan Petronas ditandatangani pada 9 Mei 1975.

Ketua Penerangan PAS Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, perjanjian yang ada dokumen itu sudah berusia 38 tahun pun gagal ditunai kerajaan Persekutuan sehingga sekarang.

“Itu perjanjian yang berdokumen secara jelas dan bukan cakap mulut-mulut seperti aku janji dalam manifesto BN Kelantan yang dilancar semalam.

“Apakah rakyat Kelantan boleh terpengaruh dengan segala janji-janji baru, sedangkan apa yang termenterai secara sah dalam dokumen pun pemimpin Umno langgar,” katanya di sini.

Semalam BN Kelantan melancarkan manifesto yang mengandungi tujuh teras iaitu orang muda, pusat kecemerlangan ilmu, kemudahan asas, ekonomi, tanah milik rakyat, bela rakyat terpinggir dan wanita.

Di bawah tajuk ekonomi disebut “Melipat gandakan usaha mencari gali sumber asli dan hasil bumi negeri Kelantan.”

Selain itu banyak aku janji PRU 13 BN mengulangi semula manifesto 2008 termasuk melaksanakan tebatan Sungai Golok, menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, projek perumahan rakyat dan membina grand bazar.

Manakala janji-janji kempen Timbalan Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Dr Awang Adek Hussin pada 24 Januari 2004 antara mewujudkan Bandar baru Tangok, pelabuhan Kemasin, hotel dan membina kilang.

Sekarang apa yang ada di Bachok di bawah pimpinan Timbalan Menteri Kewangan.

Dr Fadzli berkata, rakyat Malaysia masih ingat pemimpin mana yang menarik bantuan perkapita kepada sekolah agama rakyat (SAR) dengan alasan tidak masuk akal.

“Sekarang Umno berjanji pula hendak memperkasa SAR dan memantapkan sekolah pondok. Hasil politik sempit pemimpin Umno menyebabkan ada sekolah SAR terpaksa ditutup di luar Kelantan.

“SAR di Kelantan bernasib baik kerana mendapat bantuan kerajaan negeri. Setiap tahun kita memperuntukkan kira-kira RM80 juta kepada Yayasan Islam Kelantan bagi mengurus sekolah agama,” katanya.

Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Kelantan, Abdul Aziz Kadir berkata, di mana Takaful Merdeka yang pernah diwujudkan Umno Kelantan sebelum ini bagi membela ahli Umno.

“Apa peranan Yayasan Kemiskinan Kelantan yang tersegam indah di Peringat sejak dahulu sehingga sekarang.

“Kita hendak tahu berapa ramai penduduk miskin yang dibantu, atau Yayasan itu sekadar tempat Umno Ketereh menganjurkan program sahaja,” katanya.

Timbalan Speaker Dun Kelantan, Mohd Zaki Ibrahim berkata, janji projek tebatan banjir di Sungai Golok dibuat sejak zaman Tun Dr Mahathir Mohamad lagi, namun sampai sekarang tidak menjadi kenyataan.

Begitu juga projek lebuh raya Kuala Krai-Kota Bharu pernah dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Kelima pada 1986, namun sampai sehingga hanya sekadar omongan semata-mata.

harakah/-

Tiada ulasan: