1 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -
JEMPOL - Bekas penyanyi popular, Wan Aishah Wan Ariffin atau lebih dikenali sebagai Aishah, 48, yang akhirnya disahkan sebagai calon Pas bagi Parlimen Jempol, melafazkan janji untuk menjadi 'suara' kepada golongan artis dan seterusnya mencurah bakti kepada masyarakat setempat sekiranya berjaya memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) kali ini.
Menurut Aishah yang popular dengan lagu Janji Manismu sekitar tahun 90-an, dia juga tidak nampak mengapa artis tidak boleh bertanding dalam pilihan raya.
“Politik itu adalah untuk semua... satu perkara semua orang kena fikirkan. Bukannya ada sekolah mengajar bagaimana untuk menjadi calon. Malah nenek pun boleh menjadi calon.
"Cuma kelebihan artis ini pasal orang kenal. Tapi jika orang pertikaikan artis tak ada pengalaman, siapa yang benar-benar ada pengalaman?
“Bagi saya, apa yang penting, niat saya bertanding adalah untuk menjadi suara ke golongan artis, dan secara keseluruhannya berkhidmat kepada masyarakat,” katanya kepada media ketika ditemui selepas selesai majlis pengumuman calon, di sini, malam kelmarin.
Aishah turut mengakui percubaan pertamanya sebagai calon politik adalah salah satu cabaran terbesar, bagaimanapun dia yakin pengalaman luas dalam bidang hiburan akan memberi kelebihan buat dirinya.
“Mahu tak mahu kita kena akui dunia hiburan satu tarikan besar kepada rakyat. Ia boleh menyampaikan dakyah, jadikan orang bersikap negatif, dan ia juga mampu menjadi medan dakwah untuk sampaikan mesej yang berguna kepada masyarakat.
"Jadi, media seni ini adalah paling efektif menyampaikan sesuatu yang baik," katanya.
Sambil berseloroh, Aishah sempat menyatakan kemungkinan dia kembali melibatkan diri dalam bidang seni sekiranya tewas dalam PRU13.
“Tengoklah, kalau tak menang, saya nyanyilah balik (ketawa).
“Saya cuma mahu pengalaman saya selama 25 tahun dalam dunia hiburan kini dilorongkan kepada perkara yang membawa kebaikan,” katanya yang akan berkampung di daerah Jempol dalam masa terdekat ini.
Aishah memulakan kerjaya seninya pada tahun 1983 setelah memenangi pertandingan di Kuala Lumpur dan terus ditawarkan menjadi artis syarikat rakaman Life Records.
Beliau ketika itu popular dengan lagu Mawar Putih Mawar Merah berduet dengan Malek Ridzuan, sebelum kembali menyepikan diri dan terbang ke New Zealand untuk menyambung pelajaran dalam jurusan Sains Politik di Universiti Auckland, New Zealand.
Pada tahun 1988, industri hiburan tanah air digegarkan dengan kejayaan Aishah bersama kumpulan yang ditubuhkannya, The Fan Club yang bukan saja popular di New Zealand, Australia dan Malaysia, malah berjaya menembusi pasaran Amerika Syarikat.
Sinar/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan