12 April 2013

Buta tiba-tiba, bapa tunggal terpaksa berhenti kerja

1 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


Buta tiba-tiba, bapa tunggal terpaksa berhenti kerja

Adham (tiga, kiri) ketika menyampaikan sumbangan daripada pihak Seranta Felda kepada Hamim.
BANDAR TENGGARA - Sejak mengalami masalah penglihatan kira-kira 16 tahun lalu, seorang bapa tunggal dekat sini, tidak lagi mampu untuk bekerja sekaligus menyara hidupnya sekeluarga.

Hamim Hasan, 46, berkata, masalah penglihatan yang dihadapi membataskan pergerakannya.

Bapa kepada tiga anak itu berkata, dengan bantuan bulanan pencen sebanyak RM300 yang diterima daripada Perkeso, dia kini tinggal menumpang di kediaman bapanya, Hasan Bani, 83.

“Saya mengalami masalah penglihatan sejak anak kedua saya dilahirkan. Malah sejak dari itu saya yang dulunya bekerja kilang terpaksa berhenti kerja.

“Saya juga tak tahu macam mana saya boleh mengalami masalah penglihatan ini kerana ia menyerang secara tiba-tiba. Selepas pemeriksaan, doktor mengesahkan saya mengalami masalah tersebut dan tidak dapat melihat lagi,” katanya.

Dia berkata demikian ketika menerima kunjungan rombongan Unit Seranta Felda Jabatan Perdana Menteri dan juga Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Tenggara, di rumahnya di Felda Bukit Ramun di sini, semalam.

Pada kunjungan itu, Hamim menerima sumbangan wang tunai dan barangan keperluan harian yang disampaikan oleh Timbalan Ketua Umno Bahagian Tenggara, Datuk Dr Adham Baba.

Hadir sama, Ketua Seranta Wilayah Johor Bahru, Hazman Ismail, Pengurus Felda Bukit Ramun, Latif Abdul Kahar, Ketua Kampung Felda Bukit Ramun, Mohd Saahat Abd Hamid dan wakil Baitulmal, Mohd Norhisham Samsudin.

Hamim berkata, setelah berpisah dengan isterinya, seorang daripada anaknya tinggal bersamanya, manakala dua yang lain mengikut bekas isteri.

Sementara itu, Adham berkata, beliau sudah merujuk masalah yang dihadapi Hamim kepada wakil baitulmal bagi mendapatkan bantuan lanjut untuk meringankan bebannya.

“Oleh sebab itu kita bersama-sama bawa wakil daripada baitulmal pada hari ini. Wakil baitulmal akan mengambil tindakan bagi membantu Hamim untuk mendapatkan bantuan sara hidup,” katanya.

Sinar/-

Tiada ulasan: