12 April 2013

SPR rahsia warna dakwat kekal

1 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hanya akan mendedahkan warna sebenar dakwat kekal yang digunakan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) pada hari mengundi 5 Mei nanti.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof (gambar kecil) berkata, tindakan itu bagi memastikan tidak ada pihak mengeksploitasi penggunaan dakwat kekal.

Selain itu, SPR juga akan memastikan bilik kebal yang menyimpan dakwat kekal itu dikawal ketat oleh pasukan keselamatan selain dipantau televisyen litar tertutup (CCTV).

Abdul Aziz berkata, warna dakwat kekal itu berbeza sama sekali dengan warna dakwat lain yang terdapat di pasaran.

"Warna dakwat kekal itu unik serta tersendiri dan kandungannya mempunyai spesifikasi khas dan menjadikannya sukar ditiru," katanya di sini semalam.

Penggunaan dakwat kekal itu adalah langkah pembaharuan yang diperkenalkan oleh SPR sebagai jaminan mengelak pengundian berulang.

Dakwat itu akan menggunakan warna berbeza untuk pengundian awal pada 30 April dan pada hari mengundi 5 Mei.

Peraturan dakwat kekal mewajibkan setiap individu yang ingin mengundi dicalit jari telunjuk kiri mereka sebelum diberi kertas undi. 

Bagi pengundi yang enggan mematuhi peraturan itu, kertas undi tidak akan dikeluarkan kepada mereka.
Tatacara penggunaan dakwat kekal itu bermula dengan dakwat dicalitkan di permukaan atas jari telunjuk kiri pengundi sehingga meliputi kuku dan ke bawah.

Sejumlah 230,000 botol dakwat kekal akan digunakan iaitu 10,000 botol untuk pengundi awal dan selebihnya pada hari pengundian biasa.

Setiap botol dakwat boleh digunakan untuk kira-kira 100 pengundi.

harakah/-


Tiada ulasan: