12 April 2013

Ibu mengandung nyaris maut

1 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


Ibu mengandung nyaris maut

Kereta yang dinaiki pasangan suami isteri itu remuk di hadapan.
ALOR GAJAH - Seorang ibu sarat mengandung tujuh bulan nyaris maut apabila kereta dipandu suaminya bertembung sebuah kereta dari arah bertentangan di jalan Simpang Garing, Durian Tunggal, dekat sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 10.15 malam itu, K Muthulagi, 25, bersama suaminya, M Yoga, 30, dalam perjalanan dari pekan Durian Tunggal menuju ke Tebong.

Difahamkan, mangsa yang menaiki Proton Wira bertembung dengan sebuah lagi kereta jenis sama dipercayai kereta curi dipandu seorang lelaki ketika melalui selekoh berbahaya sebelum terbabas ke kiri jalan.

Jurucakap polis berkata, kereta dipandu lelaki itu hilang kawalan lalu berpusing beberapa kali hingga memasuki laluan bertentangan.

"Akibat kejadian itu, kereta dinaiki suami isteri itu dirempuh pada sebelah kiri sebelum kedua-dua kereta terhenti pada jarak kira-kira 10 meter.

"Pertembungan itu juga menyebabkan kereta lelaki berkenaan merempuh deretan kedai di kiri jalan," katanya.

Menurutnya, kereta pasangan suami isteri yang terbabas juga hampir merempuh sebatang tiang elektrik manakala kereta dipandu lelaki terbabit terperosok ke ruang hadapan deretan kedai dalam kedudukan menghala semula keluar.

"Sejurus rempuhan berlaku, kedua-dua mangsa segera keluar dari kereta namun lelaki terbabit sudah melarikan diri.

"Dalam keadaan cemas, mangsa dihantar ke Hospital Alor Gajah oleh orang awam untuk rawatan lanjut manakala suaminya tidak mengalami sebarang kecederaan serius," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin ketika dihubungi mengesahkan kemalangan berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sinar/-

Tiada ulasan: