27 Mei 2013

8 sebab legitimasi Najib sebagai PM dipersoal

17 Rejab 1434 H. [MOD]

GELANG PATAH: Terdapat sekurang-kurangnya lapan sebab mengapa ramai mempersoalkan legitimasi Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri Malaysia selepas Pilihan raya Umum ke-13 pada 5 Mei lalu.
Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang berkata Najib dan BN hanya memenangi 47% undi popular manakala Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pakatan Rakyat memenangi majoriti 51% undi popular.

Katanya, PRU13 merupakan pilihan raya paling kotor sepanjang 13 pilihan raya umum di dalam sejarah negara yang mana berlakunya politik wang yang tidak pernah berlaku sebelum ini dan pilihan raya tidak beretika dan berprinsip yang boleh dirumuskan melalui strategi tiga berangkai Umno BN “Duit Duit Duit”, “Tipu Tipu Tipu” dan “Takut Takut Takut”.

“Protes aman dan demokratik sejuta pengundi Malaysia, kebanyakannya generasi muda dari pelbagai kaum, sejak keputusan PRU13 diketahui tiga minggu lalu di ceramah “Black 505” seluruh negara menunjukkan betapa mendalamnya keraguan orang ramai terhadap legitimasi Najib sebagai Perdana Menteri,” ujarnya ketika berucap di makan malam kesyukuran dan pelancaran gerakan Impian Rakyat Malaysia DAP Gelang Patah di sini, malam tadi.

Selain itu, ujarnya pemerintahan Najib sebagai Perdana Menteri kurang legitimasi sebagai kerajaan 1Malaysia meskipun telah mengangkat sumpah selepas pilihan raya untuk menjadi Perdana Menteri untuk semua kaum,

Ini, katanya kerana meningkatnya polarisasi kaum selepas PRU13, dengan Najib sendiri bertanggungjawab memulakannya dengan kenyataannya pada malam  PRU13 bahawa keputusan pilihan raya umum adalah “tsunami Cina” – sedangkan ia adalah tsunami rakyat Malaysia, bandar, separa bandar dan anak muda.

Di samping itu, tambah beliau Kabinet Najib tidak mewakili semua rakyat Malaysia, satu kesedaran terlewat yang telah membawa kepada cadangan dari dalam Barisan Nasional bahawa parti-parti BN sepatutnya menurut kehendak rakyat Malaysia untuk menamatkan parti politik berasaskan kaum, dengan menggabungkan semua parti komponen dalam perikatan menjadi parti berbilang kaum.

Penasihat DAP itu menambah, Najib mempengerusikan Kabinet dengan dua Menteri tidak sah (Paul Low dan Abdul Wahid Omar) tiga Timbalan Menteri tidak sah (P. Waythamoorthy, J Loga Bala Mohan dan Ahmad Bashan Md Hanipah) memandangkan kelima-lima mereka belum mengangkat sumpah sebagai Senator sebelum mengangkat sumpah memasuki pejabat kementerian.

Malah, katanya kelima-lima mereka berada di dalam awang-awangan perlembagaan sejak 11 hari lalu, memandangkan mereka belum mengangkat sumpah sebagai Senator dan mereka sendiri tidak berani mengakui bahawa mereka adalah menteri dan timbalan menteri yang sah.

Menurutnya lagi, pemerintahan Najib yang semakin menekan dan tidak demokratik, berikutan kerjasama antara Menteri Dalam Negeri yang paling “bersifat politik” dengan Ketua Polis Negara yang paling “bersifat politik” menginjak hak asasi manusia dan hak demokratik pemimpin Pakatan Rakyat serta aktivis sosial pada minggu lalu dengan penahanan, pendakwaan terpilih dan tindakan keras terhadap kebebasan berhimpun dan bersuara.

“Pemerintahan Perdana Menteri Najib terus bergantung kepada penipuan dan pembohongan sebagai satu bentuk komunikasi yang langsung bercanggahan dengan prinsip akautabiliti, ketelusan dan tadbir urus yang baik, tidak dilupakan Ikrar Integriti Pilihan Raya  Transparency International-Malaysia yang ditandatangani Najib dengan penuh riuh-rendah ketika kempen PRU13,” ujarnya.

HARAKAH/-

Tiada ulasan: