17 Rejab 1434 H. [MOD] -
Butterworth: Seorang lelaki warga Myanmar ditahan selepas mengamuk dan melepaskan tiga das tembakan di Balai Polis Chai Leng Park, di sini, dalam satu kejadian awal pagi tadi.
Dalam kejadian jam 1.30 pagi itu, lelaki yang dikenali sebagai Mohd Ibrahim,33, sebelum itu dikatakan datang ke balai untuk membuat laporan selepas mendakwa ada orang mahu memukulnya di Taman Inderawasih, Perai.
Anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) yang tiba di lokasi bagaimanapun memaklumkan kepada anggota di balai tiada sebarang insiden pergaduhan seperti yang dilaporkan.
Lelaki yang hanya berkain pelikat dan berkaki ayam itu kemudiannya secara tiba-tiba memanjat meja di balai berkenaan lalu mencekik anggota bertugas dan merampas sepucuk pistol jenis P99 sebelum mengacukan senjata itu ke kepala anggota terbabit.
Anggota berpangkat Lans Koperal itu yang berjaya melepaskan diri dari suspek kemudiannya bertindak menyelamatkan diri dengan berlari keluar sebelum terdengar bunyi tiga das tembakan.
Suspek kemudiannya dilihat keluar dari balai dan dipujuk anggota supaya mengembalikan senjata yang diambilnya, namun gagal.
Sebaliknya suspek mengacukan pistol berkenaan ke kepalanya dan terus menarik picu tetapi, tidak meletup.
Dua anggota URB bersama anggota balai yang baru tiba dari lokasi sekatan jalan raya berjaya menahan suspek dan merampas semula pistol berkenaan.
Suspek yang cedera di hidung, selain mengalami bengkak di muka dan mata kiri itu dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) sejurus kemudian bagi menerima rawatan.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti motif kejadian.BH/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan