Serius,
negara kita wajar disusun semula segala-galanya. Kita tidak lagi
mempunyai sistem sebuah kerajaan yang ‘sustainable’ dalam segala bidang.
Semuanya sudah tidak boleh dipakai lagi dan jika tiada perubahan maka
kita tidak akan lagi berada di dalam sebuah negara yang berkerajaan yang
benar-benar selari dengan kehendak demokrasi dan kehendak kemajuan
dunia masakini.
Keyakinan terhadap semua institusi demokrasi sudah sampai tahap
terendah dan tidak diketahui lagi sama ada kita ini akan maju ke tahap
dunia pertama atau berundur dan mengelongsor ketahap kerajaan dunia
ketiga. Kita membiarkan kepimpinan kerajaan menyerang dan merobohkan
semua institusi demokrasi. Sistem kehakiman, kepolisian, undang-undang
dan berbagai-bagai lagi telah dilacurkan. Kita seolah-olah sedang
tinggal dalam sebuah negara yng sama tahap kewibawaannya seperti
Zimbabwe, Mali, Congo dan lain-lain.
Jatuhnya kewibawaan sesebuah negara dan kerajaan itu berkait rapat
dengan kewibawaan pemimpin-pemimpinnya. Di negara kita sistem yang ada
sudah tidak diyakini lagi oleh bukan sahaja rakyat kita sendiri, tetapi
telah menjadi cemuhan masyarakat antarabangsa. Sudah tiada pihak yang
serius untuk melakukan perubahan untuk mengembalikan negara kita ke
tahap yang pernah kita alami dahulu.
Dulu negara kita adalah negara yang paling hampir kepada tahap dunia
pertama dan negara maju sejurus kita mencapai kemerdekaan dahulu.
Pencapaian kemajuan yang dimaksudkan bukannya dari segi pembangunan
fizikal semasa itu, tetapi sikap dan suasana kepimpinan semasa itu jauh
lebih baik dari masa sekarang. Dulu kepimpinan kita begitu masyhur
dengan kewibawaan sebagai pemimpin sebuah negara yang cepat mencapai
tahap negara maju.
Tetapi bagi pimpinan sekarang mereka mengaku dan memuji diri sendiri
yang kita telah hampir ke tahap itu. Tetapi apakah benar kita sudah
menghampiri tahap dunia maju seperti yang digembar-gemburkan itu? Kalau
kita sebut negara maju itu apakah definasi negara maju sebenarnya?
Adakah cukup dengan membina bangunan tinggi-tinggi yang hampir setinggi
awan itu untuk menjadi kayu pengukur kemajuan itu?
Adakah sudah mencukupi jika kita membina jambatan panjang-panjang
atau membina tiang bendera yang tertinggi di dunia itu sudah melayakkan
kita digolongkan ke dalam negara maju? Bagaimana dengan sikap dan nilai
pemikiran kita tidak perlu dibina untuk melayakkan kita menjadi sebuah
negara maju? Tidak perlukah kita membina kepimpinan yang beretika dahulu
sebelum kita menjadi negara maju?
Apakah sebenarnya ciri-ciri penting yang perlu ada sebelum kita boleh
menganggap negara kita sudah mencapai ke tahap negara maju itu?
Pendeknya tahukah kita semua apa dia negara maju itu?
Negara maju itu adalah sebuah negara yang matang. Kematangan negara
itu bukan setakat mencapai kemajuan fisikalnya tetapi kematangan yang
meliputi bidang kehidupan yang lain. Kematangan sesebuah negara itu
boleh kita lihat dari segi politiknya, kemajuan pemikiran rakyat
lebih-lebih lagi pemikiran pimpinannya. Negara maju yang matang
mempunyai rakyat yang hidupnya penuh dengan etika kehidupan sehariannya
dan lebih-lebih lagi dari segi sikap mereka terhadap semua isu ada di
depan mata mereka.
Dalam sebuah negara maju sistem kehakiman mereka tidak boleh
dipengaruhi oleh politik dan menyebelahi sesuatu pihak. Pihak
eksekutifnya tidak boleh masuk campur dalam hal yang berkaitan dengan
kehakiman itu. Sistem kehakiman kita suatu ketika dahulu adalah badan
bebas tetapi dihancurkan oleh pimpinan kerajaan (executive) semasa
pimpinan seorang Perdana Menteri yang boleh berjalan di atas air dahulu.
Di England, badan yang mengendalikan pilihanraya tidak menunjukkan
sikap seperti pimpinan SPR di sini yang menunjukkan ‘thumbs up’ di depan
media setelah BN berjaya mengekalkan mandat walaupun mandat yang
bertambah kecil. SPR di sini seolah-olah adalah salah satu dari anggota
Barisan Nasional yang berbelas-belas itu.
Di negara maju anggota Polisnya lebih menumpukan tenaga untuk menjaga
keselamatan negara dan tidak seperti di sini di mana anggota Polisnya
lebih menumpukan perhatian kepada pemimpin pembangkang sahaja. Jenayah
bertambah-tambah dan segala jenis jenayah nampak seperti tidak ada
kawalannya. Polis sudah hilang ‘priority’ terhadap tanggungjawabnya.
Mereka lebih percaya yang perhimpunan anjuran PKR itu lebih bahaya
dari kumpulan penyamun yang sentiasa mengintai-ngintai untuk menyamun
rumah-rumah yang boleh mereka masuk untuk menyamun. Pendeknya seluruh
sistem dan kewibawaan kerajaan sudah tidak boleh lagi diperbaiki oleh
pimpinan yang ada sekarang ini.
Seperti yang selalu saya sarankan, negara kita perlu melakukan
transformasi, bukan seperti yang dianjurkan oleh Najib tetapi
transformasi yang hakiki. Kita terpaksa memulakan dengan menyusun
kembali negara ini dari ABC atau alif baa taa.
‘The elders have to take charge’ buat sementara untuk menyususn
kembali negara yang telah tersimpul mati dengan kemelut dan masalah yang
tidak kunjung selesai itu. ‘Budak-budak’ yang tidak berhenti-henti
berkelahi itu duduk di tepi dahulu, hisab cerut atau rokok daun, atau
duduk bersama saya di kedai kopi mamak mana-mana.
Untuk memulakannya biar lah mereka yang memahami selok belok siasah
dan pentadbiran dan mempunyai roh sejati untuk memperbaiki keadaan ini.
Najib hanya pandai bercakap tentang ‘national reconciliation’. Tetapi
beliau juga adalah pihak yang terlibat dalam pergaduhan untuk
mengekalkan kuasa dengan orang yang hendak mendapatkan kuasa itu.
Jika Najib benar-benar jujur untuk matlamat itu, beliau sepatutnya
mempunyai otot yang cukup kuat untuk mendisiplinkan ahli-ahli partinya
untuk tidak berkata dan bertindak tanpa mempunyai ‘clue’ yang betul
untuk melakukannya. - http://aspanaliasnet.blogspot.com/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan