Jurujual diacu golok ketika berkempen di Besut, 24 April 2013.
Polis buru 3 suspek tetak mekanik di Besut, 6 Januari 2013.
Pembuat keropok ditahan miliki dadah di Kuala Besut, 21 April 2013.
Seorang lelaki ditahan, 5 kes curi kabel di Besut, 16 Mei 2013.
Dua samseng kes pukul guru di Masjid Kayu Besut serah diri, 14 Mei 2013.
Dua bunuh diri di Besut, 20 Januari 2013.
Empat Ah Long ditahan di Jerteh dan Besut,4 April 2013.
Pesawah parah ditetak di Besut, 19 Mei 2013.
Ugut potong telinga guru di Besut, 22 Mei 2013.
Dua lelaki ditembak polis di Besut, 18 Januari 2013.
Dua suspek kes lari kenderaan dikenalpasti, 13 Februari 2013.
Lelaki, rakan wanita ditahan miliki kereta curi di Felda Selasih, Besut, 18 Januari 2013.
Anak penjenayah ketua geng curi, pelajar sebuah sekolah menengah diberkas di Besut, 20 Mei 2013.
Suspek samun madu adik dicekup, 23 Mei 2013.
Petikan di atas adalah sebahagian kecil dari tajuk-tajuk yang
disiarkan di dada-dada akhbar media perdana berkaitan kes-kes jenayah
yang berlaku di sekitar Besut mutakhir ini. Sememangnya peningkatan
kadar jenayah di bumi ‘Ulul Albab’ ini menjadi buah mulut terutamanya
kecurian dan pecah rumah, jenayah kekerasan dan kes-kes narkotik.
Dari getah skrap, buah kelapa sawit, pisang di kebun, tembikai di
ladang sehingga kepada kes curi kenderaan dan pecah rumah. Topiknya
menjadi bahan perbincangan hangat masyarakat. Seorang pesawah dari
Kampung Gerong Apal merungut, “nasib baik tak berlaku lagi kes pencuri
‘tolong tuai’ padi kita di sawah, kalau kelapa sawit, yang atas pokok
pun pencuri kait. Ni jiran sebelah rumah ambo, lembu dia hilang 2 hari
lepas, jumpa dalam rok (semak) siap kena ikat kaki, nasib baik tak
sempat kena semelih!”
Suatu pagi di kedai kopi Kampung Kuala Kubang, Jabi. Sambil minum
pagi, orang kampung rancak bercerita tentang getah skrap dicuri orang,
“letih kita toreh, dia ‘tolong kutip’! kalu dapat kat aku, siaplah!”
rungut seorang penoreh dengan nada kesal berbaur marah.
Saya mendengar dengan penuh simpati. Sudahlah harga getah merudum,
susu getah tak berapa keluar semasa musim daun getah luruh seperti
sekarang, ada sikit-sikit hasil kena curi pula. Seorang teman yang
mempunyai kebun sawit seluas kira-kira 3 ekar menyampuk, “dok pelik mana
pok getah (getah scrap) kena curi, ambo sawit atas pokok pun ada orang
tolong kait!”
Kebetulan kelmarin (Jumaat 24 Mei 2013) saya menziarahi seorang
sahabat, petugas pilihanraya Dun Jabi yang kehilangan keretanya.
Kenderaan yang diletakkan di hadapan kedai runcitnya di Kampung Guntung,
Tembila, Besut dilarikan pencuri pada awal pagi. Masih belum ditemui
sehingga sekarang.
Ketika laporan polis dibuat di IPD Besut, anggota yang bertugas
memaklumkan bahawa hari ini sahaja, 3 kes laporan curi kenderaan telah
diterima. Bayangkan ketika itu waktunya masih di awal pagi Jumaat! Kalau
40 penyamun dalam cerita ‘Ali Baba P. Ramlee’ ada hari off dan holiday, pencuri sekarang nyata lebih hebat. Hari Jumaat tetap beroperasi seperti biasa!
Saya menziarahi seorang ibu yang mengaku dia adalah ahli Umno dan
pengundi tegar BN dari Kampung Gong Dasar, Jabi, di mana anaknya pernah
keluar masuk lokap angkara pil kuda menangis hiba mengenangkan perihal
anak yang dibelai dengan penuh kasih sayang akhirnya terjebak dengan
gejala negatif ini.
“Doktor tolonglah fikir sesuatu, PAS kena buat sesuatu untuk
anak-anak muda di sini, demo main pil kuda terang-terang depan mata,
macam dok takut ko sapo-sapo. Kalu tak dok orang nak tolong baiki, dok
tahulah nak jadi lagu mana… ” keluhnya dengan penuh kesedihan.
Orang kampung tidak pandai dengan statistik dan data. Saya juga
adalah orang kampung, membesar sebagai anak kampung, berjiwa kampung,
merasai penat jerih orang kampung. Mungkin tak salah kalau saya
berfikiran sealiran dengan mereka. Data dan statistik PDRM menunjukkan
kononnya kadar jenayah di Besut menurun, tapi realiti pada pandangan
serta apa yang sedang menjadi igauan masyarakat adalah berbeza.
Dengan didahului permohonan maaf kepada Tuan OCPD Besut dan
rakan-rakan anggota PDRM yang saya kenali dari IPD Besut, Balai Polis
Jerteh serta Jabi yang telah banyak memberikan kerjasama menjayakan
pelbagai program Parti Islam Se-Malaysia khususnya di Dun Jabi, dengan
penuh hormat saya berpandangan, sekadar angka yang dibentangkan tidak
akan mampu untuk memberikan keyakinan dan rasa tenteram masyarakat
kerana manusia akan menilai berdasarkan situasi yang ada di sekeliling
mereka.
Saya juga tidak ingin mengulas panjang tentang maklumat serta bukti
bahawa berleluasanya budaya samseng di sekitar Bandar Jerteh sehingga
ramai peniaga-peniaga kecil yang pro pembangkang menjadi mangsa dan
tidak diizinkan berniaga lagi. Apakah ini suatu tindakan melepaskan
geram pasca PRU 13?
Yang pastinya, kita meyakini bahawa kedaulatan undang-undang masih wujud di sini dan Jerteh bukanlah sebuah pekan cowboy
dengan makna siapa yang kuat dia berkuasa! Apatah lagi antara bangunan
yang paling besar dan tersergam di Jerteh adalah Bangunan Umno Besut.
Tersergam pula papan tanda ‘Besut Bumi Ulul Albab’. Arkitek Ulul Albab
pun sudah dilantik menjadi menteri penuh. Tolonglah kawal perlakuan
anak-anak buah Datuk Seri supaya Ulul Albab tidak disindir dengan
gelaran ‘Ahmad Albab!’
HARAKAHDAILY/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan