17 Zulhijjah 1434 H. [MOD] -
KEPALA BATAS: Sejumlah 479 mangsa banjir di sekitar Tasek Gelugor masih ditempatkan di lapan pusat pemindahan sementara di Parlimen itu berikutan banjir masih belum surut sepenuhnya.
Anggota Parlimen Tasek Gelugor Datuk Shahbudin Yahaya berkata semua mereka merupakan penduduk di 13 buah kampung di sekitar Sungai Jarak, dekat sini.
Beliau berkata sehingga malam Isnin 829 mangsa banjir ditempatkan pusat pemindahan banjir tetapi pagi ini 350 telah dibenarkan pulang selepas air banjir surut.
"Hanya 479 masih di lapan pusat pemindahan iaitu Lebuh Banting, Lahar Yoi, Seberang Tok Akit, Kampung Cegar, Desa Permai, Paya Tok Akil, Ara Kuda dan Padang Menora," katanya kepada Bernama di sini Selasa.
Katanya jika tidak hujan hari ini mungkin semua mangsa yang masih berada di pusat pemindahan itu boleh pulang ke rumah mereka esok.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Abdul Rahman Ibrahim berkata di Kepala Batas tinggal 21 mangsa banjir masih berada di pusat pemindahan banjir Pantai Kamloon dan Bumbung Lima.
"Lima mangsa banjir adalah dari Bumbung Lima manakala selebihnya tiga keluarga dari kawasan Pantai Kamloon," katanya.
Banjir berlaku di beberapa kawasan di Pulau Pinang sejak Ahad lepas akibat hujan lebat dan air laut pasang besar. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan