22 October 2013

PKR, DAP akan pastikan PAS kekal di Sg Limau

17 Zulhijjah 1434 H. [MOD] -

JERAI: PKR dan DAP berikrar memberi komitmen sepenuhnya bagi membantu PAS untuk mengekalkan kemenangan di kerusi Dun Sungai Limau pada pilihan raya kecil itu 4 November ini.

Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali berkata selaku rakan PAS dalam Pakatan Rakyat, PKR akan turut sama berkempen dan berikrar untuk memenangkan calon PAS.

"Kita dari PKR akan turut sama berkampung mulai hari ini sehingga hari pengundian nanti bagi usaha untuk berkempen bersama-sama PAS agar kerusi ini terus kekal di tangan parti itu.

"PKR yang akan diketuai Datuk Johari Abdul akan melaksanakan tugas mereka selari dengan apa yang dikehendaki oleh PAS dan kita turut meletakkan beberapa individu yang mempunyai kepakaran agar serangan kita terhadap Barisan Nasional (BN) berjalan dengan lancar," jelas beliau.

Katanya lagi, kemenangan PAS pada PRK kali sangat penting sebagai satu isyarat kepada kerajaan agar tidak terus membebani rakyat.

Selain itu katanya, kemenangan ini juga sebagai satu 'amanah kedamaian' yang akan diteruskan setelah sekian lama diperjuangkan oleh Allahyarham Tan Sri Azizan Abd Razak," ucap beliau.

Sementara itu, Penasihat DAP Lim Kit Siang yang turut sama hadir pada majlis tersebut menyatakan dengan tema 'kekal' yang akan digunakan PAS, sangat bertepatan.

Jelasnya lagi, kemenangan pada 4 November nanti juga merupakan satu isyarat jelas untuk Pakatan Rakyat serta rakyat membuat persediaan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

"Kita yakin PAS dengan calon yang diumumkan ini akan terus berada di kerusi Dun Sungai Limau.

"Kemenangan kita merupakan satu isyarat yang amat jelas untuk kita membuat perubahan pada PRU14 nanti," ucapnya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihati pengundi agar tidak terpengaruh dengan fitnah yang akan digunakan oleh BN dalam kempen mereka nanti.

Katanya, BN pasti akan menberitahu kepada rakyat tentang sikap perkauman DAP yang anti kepada Melayu serta mengatakan PAS menjadi alat kepada DAP.

"Pengundi perlu berhati-hati dan tidak terpengaruh dengan kempen fitnah BN terhadap rakan-rakan parti di dalam Pakatan Rakyat.

"Mereka pasti menuduh DAP anti Islam dan Melayu, malah akan mengatakan PAS menjadi alat kepada DAP.

"Saya sehingga sekarang mengesa mereka kemukakan bukti manakah yang kata DAP anti Islam atau Melayu tetapi sehingga sekarang tidak ada apa-apa bukti ditunjukkan," ucapnya.

Beliau yakin dengan apa yang telah dibina oleh Ustaz Azizan sebelum ini, pengundi tidak terpengaruh dan bijak dalam melaksanakan tanggungjawab mereka.

Harakahdaily/-

No comments: