22 Oktober 2013

Ustaz Azam Samad calon PAS PRK Sg Limau


17 Zulhijjah 1434 H. [MOD] -
JERAI: Ketua Pemuda PAS Jerai, Ustaz Azam Samad diumumkan sebagai calon PAS bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Sungai Limau.

Pengumuman dibuat Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang kira-kira jam 10 malam ini di majlis pengumuman calon di sini.

Ustaz Azam yang juga bekas guru bakal berdepan calon BN Ahmad Sohaimi Lazim.

Ustaz Azam ketika memberikan ucapan sulung malam ini berkata, beliau akan memikul amanah yang diberikan ini sebaik mungkin.

Beliau menegaskan, azamnya untuk meneruskan agenda bekas Menteri Besar Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak sebelum ini.

Beliau juga berharap seluruh jentera Pakatan Rakyat khususnya PAS untuk bekerja keras mengekalkan kemenangan di kerusi tersebut.

Ustaz Azam turut menyeru agar semua pihak menghadapi pilihan raya kecil kali ini dengan penuh harmoni.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 23 Oktober ini sebagai hari penamaan calon, manakala 4 November depan sebagai hari mengundi.

Kerusi DUN Sungai Limau kosong ekoran kematian bekas menteri besar Kedah Tan Sri Ustaz Azizan Razak kerana komplikasi jantung serta jangkitan kencing manis pada 26 September lalu.

Pada pilihan raya umum ke-13 Mei lalu, Azizan mempertahankan kerusi Dun Sungai Limau yang dimenanginya sejak 1995 untuk PAS, dengan menewaskan sepupu beliau Fazillah Mohd Ali yang mewakili BN dengan majoriti 2,774 undi. HD/-

Tiada ulasan: