22 Oktober 2013

PAS yakin kemampuan Ustaz Azam

17 Zulhijjah 1434 H. [MOD] -

JERAI: PAS optimis calon yang diumumkan semalam Ustaz Mohd Azam Abd Samad yang juga Ketua Pemuda PAS Jerai, mempunyai kelebihan sendiri untuk memenangi kerusi Dun Sungai Limau pada pilihan raya kecil itu 4 November nanti.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata Ustaz Azam diyakini bukan sahaja mampu mengekalkan kemenangan PAS pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) malah dengan jumlah majoriti undi yang lebih besar.

"Kita telah memilih calon yang muda bagi membawa suara rakyat, mempunyai pendidikan yang tinggi dalam bidang dan sesuai dengan masyarakat Sungai Limau.


"PAS yakin dengan khidmat beliau, kita anggap boleh menang tetapi dalam menghadapi demokrasi yang tidak seimbang ini petugas-petugas PAS mahupun Pakatan jangan memandang mudah," ujar presiden PAS itu ketia berucap pada majlis pengisytiharan calon malam tadi.


Azam yang berusia 37 tahun merupakan anak tempatan yang mempunyai pendidikan Ijazah Sarjana Muda Syariah Islamiyah dari Universiti Al-Azhar, Mesir selain pengajian Talaqqi di Syria dan juga merupakan bekas guru agama.


Dalam pada itu, Presiden PAS juga mahu seluruh jentera Pakatan Rakyat tidak memandang mudah terhadap pihak lawan kerana menjangkakan BN akan menggunakan pelbagai taktik untuk merampas kerusi itu.


"Kita turut berharap PRK kali ini berlangsung dengan adil selain dari kempen fitnah Umno, dan media arus perdana perlu lebih telus serta tidak memihak kepada sesiapa," ucapnya.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: