22 Oktober 2013

PAS guna slogan 'kekal' untuk PRK Sg Limau

17 Zulhijjah 1434 H. [MOD] -

JERAI: PAS akan menggunakan slogan 'Kekal' sebagai tema kempen menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Sungai Limau pada 4 November nanti.

Pengarah Jawatankuasa Induk PRK Sungai Limau, Datuk Mahfuz Omar memberitahu, 'Kekal' membawa misi yang cukup jelas dalam memastikan legasi yang ditinggalkan oleh Allahyarham Tan Sri Ustaz Azizan Razak dapat diteruskan.


Jelasnya lagi, 'Kekal' juga turut membawa mesej bahawa PAS yakin dapat membawa kemenangan selama lima penggal sebelum ini dapat dipertahankan.



"PAS dan Pakatan Rakyat menyertai PRK ini dengan misi yang cukup jelas, hanya sepatah perkataan untuk pengundi di Dun Sungai Limau dan seluruh petugas dapat melaksanaka tanggungjawab dengan lebih bersemangat.



"Kita akan menggunaka slogan 'Kekal' bagi menghadapi BN," katanya ketika berucap melancarkan slogan tersebut pada majlis pengumuman calon PAS PRK Sungai Limau di Kampung Sungai Limau Dalam malam tadi.



Ucap beliau lagi, adalah menjadi satu tanggungjawab yang besar untuk PAS kekal di Sungai Limau dengan tujuan menghargai apa yang telah dibawa oleh Ustaz Azizan sebelum ini.



Katanya, banyak agenda yang dibawa oleh Allahyarham bermula dari dulu sehinggalah tahun 2008, yang telah menunjukkan satu perubahan baru pada pemerintah Pakatan Rakyat di Kedah.



"Perjuangan Ustaz Azizan perlu diteruskan dan kita lihat banyak agenda yang telah beliau lakukan sejak dari dulu sehingga 2008.



"Selepas PAS memerintah Kedah, Ustaz Azizan bersama barisan kepimpinan beliau telah menjadi sebuah kerajaan yang telus tanpa ada sebarang amalan rasuah.



"Ini diakui sendiri mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad yang melihat pentadbiran Azizan lebih telus dan bersih," jelasnya.



Mahfuz yang juga merupakan Naib Presiden PAS turut menegaskan jika PAS dapat kekalkan kemenangan pada 4 November nanti, ini membuktikan satu manifestasi kebijaksanaan rakyat yang dididik oleh Ustaz Azizan selama ini.



"Rakyat di sini mempunyai kebijaksanaan, kekalkan PAS membuktikan kebijaksanaan yang ditinggalkan oleh Allahyarham sebelum ini.



"Kebijaksanaan pengundi baru dan lama, mereka membuat keputusan dengan melihat politik damai dengan penuh keadilan yang menjadi perjuangan PAS sejak dulu," sambung beliau.



Beliau yang turut mengesa agar pengundi dapat membuat satu keputusan yang bijak bagi memastikan apa yang diamanahkan oleh Ustaz Azizan dapat dilaksanakan walaupun melalui individu yang lain.



Dalam pada itu, jelasnya pengundi juga perlu bijak dengan menolak segala kempen fitnah yang akan dibawa Umno pada kempen nanti.



PAS yang telah meletakkan Ketua Pemuda Jerai, Mohd Azam Abd Samad yang merupakan kelulusan Ijazah Sarjana Muda Syariah Islamiyah dari Universiti Al-Azhar bagi menghadapi calon dari Barisan Nasional (BN) Ahmad Sohaimi Lazim.
Harakahdaily.-

Tiada ulasan: