17 Zulhijjah 1434 H. [MOD] -
Abd Shukur Harun, | 22 Okt 2013 |
Secara kebetulan Ahad lalu saya turut menyaksikan dua acara sederhana menyambut hari ulang tahun kelahiran ke-66, Presiden PAS, Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Siangnya di majlis penutup Konvensyen Tanah dan malamnya pada akhir Majlis Dialog Antara Budayawan dan Pimpinan PAS anjuran Lajnah Kebudayaan dan Kesenian PAS Pusat, di sebuah hotel di Shah Alam juga.
Walaupun sihat tetapi beliau kelihatan letih kerana memenuhi jadual kerja yang padat setiap hari sebagai pemimpin utama PAS. Beliau telah menghabiskan masanya lebih setengah abad dalam perjuangan Islam. Bermula sebagai pemimpin pelajar Islam di Timur Tengah, kemudian dengan Abim di Terengganu, seterusnya melangkah jauh melibatkan dirinya sepenuh dengan PAS.
Ustaz Hadi telah dilantik sebagai pemangku Presiden pada Jun 2002, ekoran Datuk Fadzil menjalani pembedahan pintasan pembuluh jantung yang kemudian meninggal dunia beberapa hari kemudian. Ustaz Hadi dipilih sebagai Presiden PAS pada pemilihan dalam Muktamar Agung ke-49 PAS 2003 hinggalah sekarang.
Beliau dilahirkan di Marang, Terengganu, sebuah perkampungan nelayan dan sebab itu beliau kenal benar dengan desir ombak dan gelombang, perahu nelayan. Apabila ada kekosongan waktu, Ustaz Hadi pergi ke laut memancing ikan justeru itu sebahagian dari dunianya. Demikianlah laut, kehidupan dan perjuangan mewarnai penghidupan pemimpin ini.
Pada Muktamar PAS ke-59 November ini di Shah Alam, tokoh ini dijangka akan dipilih semula sebagai Presiden dan tentunya ini menggambarkan keunggulannya sebagai pemimpin politik Islam di Malaysia. Menyerlahkan kemampuannya sebagai pemimpin yang amat istiqamah dan turut serta menyambung perjuangan menggerakkan PAS dari parti kampung yang miskin menjadi parti arus perdana yang dihormati oleh kawan dan lawan.
Ustaz Hadi meneruskan legasi pemimpin terdahulu, Tuan Guru Haji Yusuf Rawa, seorang profesional dan ulama, yang meneroka ruang berinteraksi dengan parti politik lain, tetapi bukan dengan parti nasionalis sekular Umno. Kemudian beliau berada di sisi kepimpinan Almarhum Ustaz Fadzil Mohd Noor yang membawa gagasan mengulamakan profesional dan memprofesionalkan ulama.
Tentulah pengalamanya berada di bawah dua Presiden yang berwibawa itu sangat berguna untuknya meneruskan perubahan dalam PAS. Maka itu, menurut pengamatan saya, Ustaz Hadi seorang pemimpin yang sangat memahami realiti dinamika politik masyarakat majmuk yang melatari negara ini.
Walaupun beliau biasanya berjubah dan bersarban, tetapi beliau sentiasa berada di tengah gelombang rakyat. Berdemonstrasi bersama rakyat menuntut keadilan, menentang kezaliman dan memulihkan demokrasi, pilihan raya yang telus dan bebas. Mercik peluh dijubah dan sekujur tubuhnya dibakar matahari ketika menyertai pelbagai himpunan rakyat. Beliau tidak sekadar berdakwah dan menyampaikan kuliah serta mengeluarkan fatwa, tetapi juga berada di tengah gelombang rakyat, sama-sama mengharungi perjuangan getir mereka.
Saya masih ingat, ada peserta di perhimpunan rakyat di Kuala Lumpur beberapa tahun lalu yang menitiskan air mata menyaksikan bagaimana Ustaz Hadi bersama rakan-rakan yang lain ditahan dan diangkut ke dalam trak polis dalam satu peristiwa perhimpunan rakyat. Peristiwa ini sangat besar ertinya, bahawa seorang ulama, pemimpin politik Islam sanggup menghadapi situasi yang demikian rupa.
Inilah sebuah contoh terbaik bagaimana seorang pemimpin parti Islam bukan sekedar berceramah dan memberi kuliah – amar makruf nahi munkar – serta memberi fatwa itu dan ini, tetapi sanggup dibakar matahari dengan peluh sekujur tubuh bersama rakyat, berdepan dengan semburan gas pemedih mata dan pelbagai ancaman.
Maknanya jika sesiapapun yang mahu memimpin parti Islam seperti PAS, mestilah bersedia menanggung risiko yang tinggi, justeru jihad itu sangat mahal harganya. Mereka bukan saja diperlukan berilmu dan bersemangat tetapi sanggup berdepan dengan cabaran berat. Kemampuan ini telah ditunjukkan oleh Ustaz Hadi Awang.
Beliau kelihatan lancar dan tidak kaku menghadapi perubahan dan berjaya memperkukuh dalaman PAS, mengharmonikan pelbagai aliran pemikiran yang ada dalam kalangan pendukung PAS yang berjumlah lebih sejuta orang itu.
Memang ada ketikanya pemerhati luar, malah ada dalam kalangan sesetengah ahli PAS sendiri, mulanya bimbang malah cemas apabila pihak media musuh musuh melontarkan suasana ‘krisis palsu’ ke dalam jamaah PAS. Umpamanya, isu kononnya ada pemimpin PAS dituduh terlibat Syiah, isu ulama profesional, isu Kalimah Allah dan lain-lain.
Di sini terserlah keupayaan Ustaz Hadi yang dengan tenang mengendurkan isu ini hingga kelihatan tidak lagi menjadi ancaman kepada parti, walaupun media musuh akan meneruskan serangan kepada PAS dalam pelbagai isu, bentuk dan cara yang berlainan.
Di bawah pimpinan Ustaz Hadi, PAS melangkah jauh ke depan sebagai parti politik terpandang, memberi sumbangan penting kepada Pakatan Rakyat untuk menjadi parti gabungan yang mampu melakukan perubahan untuk rakyat dan negara.
Bagaimanapun beliau tidak keseorangan dalam pemimpin parti politik arus perdana ini ke arah perubahan yang diperlukan oleh rakyat. Saf pimpinan yang akan dipilih di Muktamar PAS November ini tentunya gabungan paling terbaik daripada sekian ramai yang terbaik. Mereka ini saya percaya, mampu menolong Datuk Seri Presiden menjadikan PAS sebagai parti yang gagah dan dominan di negara ini.
Oleh itu ketika beliau diraikan di dua majlis hari jadinya Ahad lalu itu, saya yakin semua mendoakannya supaya diberikan kesihatan yang baik oleh Allah SWT untuk meneruskan perjungan. Para jemaah masih memerlukan kepimpinannya justeru beliau pemimpin yang hidup dan mengalir.
Harakahdaily/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan