25 Oktober 2013

Bajet 2014 tambah beban, hiba rakyat - Zailah

20 Zulhijjah 1434 H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Pengumuman Bajet 2014 amat menyedihkan rakyat kerana bukan sahaja terbeban dengan kenaikan harga barangan tetapi ditambah dengan pengisytiharan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sebanyak 6 peratus. 

Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusof menegaskan, kerajaan BN tidak wajar melaksanakan GST dalam keadaan rakyat masih belum bersedia untuk menanggung bebanan tersebut.

Beliau menyelar pandangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menjadikan negara-negara maju telah melaksanakan GST. 

"Negara-negara maju yang telah melaksanakan GST pendapatan rakyat mereka tinggi contohnya Singapura. Berbanding kedudukan ekonomi rakyat kita yang rendah dan masih berada di paras kemiskinan," katanya.    

Menurut beliau, apabila kerajaan BN melaksanakan GST kesan cukup besar kepada penduduk kampung dan orang miskin sebab apabila semua jenis cukai dikenakan terhadap barangan maka ia melibatkan semua lapisan rakyat. 

Di samping itu katanya, apabila kerajaan mansuhkan subsidi gula 34 sen maka ia akan memberi kesan kepada industri makanan khususnya penjual makanan di gerai-gerai kecil iaitu tempat orang miskin mencari pendapatan. 

Tambah beliau, BR1M sebanyak RM600 tidak berbaloi dengan bebanan kehidupan rakyat kerana terpaksa menanggung setiap hari dan setiap tahun sedangkan pemberian BR1M hanya setahun sekali. 

Beliau yang juga Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat berkata, bajet kali ini sangat hiba kerana menambahkan bebanan kehidupan rakyat yang memang sudah sedia terbeban. 

Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pula menegaskan Pakatan Rakyat tidak menyokong pelaksanaan GST sehingga pendapatan rakyat mencapai tahap yang tinggi.

Menurut beliau, jika kerajaan BN mahu melaksanakan GST sebanyak 6 peratus  ia mesti meningkatkan kadar pendapatan rakyat dahulu dengan pengagihan hasil yang banyak.  

"Kita tidak sokong perlaksanaan GST sehingga pendapatan rakyat tinggi," katanya ketika ditemui di luar Dewan Rakyat. 

Beliau yang juga Menteri Besar Selangor menegaskan Bajet 2014 yang dibentangkan  masih menunjukkan cara strategi Bajet kerajaan BN pada tahap yang lama. 

"Salah satu perkara yang akan saya cadangkan nanti, kerajaan perlu mengkaji bagaimana kos pentadbiran dan birokrasi dapat dikurangkan," katanya. 

Ini kerana tambah beliau, setiap tahun terdapat kenaikan perbelanjaan yang tidak menunjukkan satu hasil yang meningkat. 

Justeru tegasnya, kerajaan perlu mengkaji semula bagaimana bukan sahaja hasil mesti ditingkatkan tetapi kos cuba disekat daripada kenaikan yang tinggi.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: