25 Oktober 2013

PAS desak KDN dedah nama syarikat kawalan keselamatan

pas muktamar 130610 tuan ibrahim tuan man
20 Zulhijjah 1434 H. [MOD] -


PAS hari ini mendesak Kementerian Dalam Negeri (KDN) mendedahkan nama syarikat yang menggaji pengawal keselamatan yang menembak mati seorang pegawai operasi Ambank di Subang Jaya petang kelmarin.


Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata tidak wajar bagi KDN sekadar mengisytiharkan syarikat itu digantung lesen sedangkan pelbagai persoalan timbul termasuk prosedur menggaji pengawal keselamatan itu yang memiliki kad pengenalan palsu.



"Antaranya bagaimana pegawai keselamatan yang memiliki IC palsu? Berapa lagi orang yang memiliki IC palsu di negara ini. Ini di bawah tanggungjawab KDN untuk menjawab kepada rakyat.



"Kedua bagaimana penjenayah ini dapat diterima kerja dengan IC palsu? Apakah syarikat keselamatan berkenaan tidak tahu menyemak maklumat pekerja yang digajinya dengan Jabatan Pendaftaran Negara? 



"Bagaimana bayaran gaji dan KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) dibuat? Apakah penjenayah itu mempunyai akaun KWSP?" katanya dalam satu kenyataan hari ini.



Perkara yang paling membimbangkan, kata Tuan Ibrahim lagi, individu yang memiliki IC palsu itu diberikan kuasa dan kebenaran memegang senjata api dan menganggapnya sebagai "satu kejutan bagi rakyat Malaysia" tatkala kejadian menembak masih menjadi-jadi.



"Apakah rasional KDN untuk merahsiakan nama syarikat terbabit yang kini jelas menjadi satu ancaman kepada keselamatan rakyat kerana kecuaiannya?" kata Tuan Ibrahim.



Dalam kejadian 6 petang kelmarin, Norazita Abu Talib, 37, ditembak di muka oleh seorang pengawal keselamatan berusia 37 tahun selepas beliau membuka pintu bilik kebal bersama rakan setugasnya.


Harakahdaily/-

Tiada ulasan: