25 October 2013

Tembak Pegawai Ambank: Pengawal Larikan RM450,000, Tiga Ahli Keluarga Suspek Ditahan


20 Zulhijjah 1434 H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Pengawal keselamatan yang menembak mati pegawai wanita dalam kejadian rompakan di Ambank cawangan Subang Jaya Rabu lepas, melarikan wang tunai berjumlah RM450,000, kata Ketua Polis Selangor, Datuk Mohd Shukri Dahlan.
Bagaimanapun, polis berjaya mendapatkan semula wang kira-kira RM20,000 selepas menahan tiga ahli keluarga suspek, termasuk seorang wanita, berikutan serbuan di sebuah kedai di Subang Jaya pada Rabu.

"Dua daripada mereka yang ditahan bekerja sebagai pengawal keselamatan dan mereka juga menggunakan MyKad palsu.
"Semua mereka yang ditahan adalah warga asing, dipercayai warga Indonesia," kata beliau sambil menambah, ketiga-tiga mereka tidak mempunyai dokumen yang sah.
Beliau memberitahu sidang akhbar bahawa suspek utama, bersama-sama dengan kedua-dua pengawal keselamatan lain yang ditahan telah bekerja di Malaysia selama kira-kira dua tahun.
Dalam kejadian 6.18 petang itu, Norazita Abu Talib, 37, maut ditembak oleh suspek ketika beliau membuka peti besi di dalam bilik kebal bank berkenaan, bersama-sama seorang lagi pegawai wanita.
Mangsa yang sudah berkerja selama 16 tahun di bank itu meninggal dunia di tempat kejadian susulan kecederaan parah pada bahagian kepala akibat ditembak dengan 'pump gun' oleh suspek.
mStar/-

No comments: