25 Oktober 2013

Bajet 2014: Jangan berniaga dengan rakyat

20 Zulhijjah 1434 H. [MOD] -

Dewan Pemuda PAS Malaysia menggesa kerajaan untuk mengemukakan agenda berkebajikan yang lebih berkesan di dalam pembentangan Bajet 2014, hari ini.


Bendaharinya, Ir. Khairil Nizam berkata, mengambilkira tekanan kos sara hidup yang semakin tinggi dan kadar pertumbuhan pendapatan sebenar yang mendatar, kerajaan perlu meluaskan insentif-insentif percukaian bagi meringankan beban belanja yang terpaksa ditanggung oleh rakyat.

Antaranya, kata beliau menyambung perlaksanaan pelepasan cukai untuk faedah pinjaman perumahan sebanyak RM10,000 untuk 3 tahun taksiran berturut-turut yang akan berakhir pada tahun ini.

“Mengambilkira kos pembelian rumah merupakan komponen terbesar hutang isirumah, pelepasan cukai baru yang lebih besar wajar diperkenalkan bagi mengurangkan belanja sebenar pembiayaan rumah,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Katanya lagi, program pelepasan cukai juga wajar diperluaskan untuk kos saraan ibu bapa dan anak-anak yang kini terhad sehingga RM6,000 di dalam skop perbelanjaan tertentu.

Menruutnya, dengan kos penjagaan kesihatan yang meningkat 10% setiap tahun, had pelepasan cukai yang disenaraikan kerajaan perlu ditingkatkan bagi menjadikan ianya lebih berkesan di dalam menangani kenaikan kos.

Beliau menambah, bagi ibu bapa yang bekerja berdepan kesukaran mendapatkan  perkhidmatan penjagaan anak pada harga berpatutan khususnya bagi keluarga yang mempunyai anak yang ramai, pelepasan cukai yang bersesuaian mesti diperkenalkan bagi pasangan yang menghantar anak-anak ke taska penjagaan.

Kata beliau, ianya akan menjadi insentif untuk pasangan membina keluarga yang lebih besar serta menggalakkan ibu bapa menghantar anak-anak ke taska berdaftar. 

“Kami juga menggesa kerajaan untuk memperkenalkan pelepasan cukai RM9,000 sehingga RM12,000 bagi individu yang menyambung pengajian ke peringkat sarjana dan PhD sebagai galakan meningkatkan kemahiran diri,” ujarnya.

Tambahnya, turut wajar dipertimbangkan ialah pelepasan cukai sehingga RM5,000 bagi pembelian kereta pertama yang diharap menjadikan pemilikan kereta lebih mudah bagi golongan anak muda.

Pada masa yang sama, ujarnya Dewan Pemuda PAS Malaysia menuntut agar kerajaan tidak menjadikan Bajet 2014 sebagai agenda untuk memperniagakan kebajikan awam menerusi pengenalan cukai baru seperti GST dan memotong subsidi barangan penting seperti tepung dan gula yang akan meningkatkan kos sara hidup rakyat.

Tiada ulasan: