25 Oktober 2013

Hukum bunuh dan salib perompak yang membunuh


20 Zulhijjah 1434 H. [MOD] -
Ustaz Zaharudin Muhammad,
Saya cukup merasa sedih dengan peristiwa pembunuhan Norazita Abu Talib. Tambah terkejut apabila mengetahui bahawa beliau adalah penduduk di kawasan berhampiran dengan tempat saya Kota Damansara, iaitu di Subang Suria, tempat yang saya kerap berkuliah juga.

Saban hari berita pembunuhan demi pembunuhan. Sampai bila akan berakhir? Terus terang saya sebut, punca kepada semua ini adalah perundangan di samping masalah ekonomi. Terbukti hari ini kegagalan sistem konvensional di dalam mengatasi semua permasalahan ini.

Ekonomi konvensional menjadikan rakyat terjebak di dalam kemelut kewangan sehingga segelintir sangup melakukan apa sahaja dan hilang kewarasan sehingga sanggup membunuh orang lain kerana harta. Undang-undang yang korup ciptaan manusia menambah parah bukan sahaja tidak mampu mencegah segelintir manusia yang hilang kewarasan, bahkan kadang kala membuka jalan pesalah-pesalah terlepas.

Keluarga NORAZITA ABU TALIB dalam konteks undang-undang hari ini, mampu melihat pembunuh keluarga mereka ditangkap dan selepas itu hanya dengari khabar dari jauh. Jika didadapati bersalah, pun hanya dengar khabar dari jauh. Kehilangan tetap kehilangan, kesedihan tetap kesedihan, geram tinggal geram kepada penjenayah, tetapi hanya mampu mendengar dari jauh hukuman terhadap penjenayah.

Dulu kita dengar CEO yang sepatutnya menjadi pagar, akhirnya pagar makan padi dengan pecah amanah. Pegawai-pegawai kerajaan yang diamanahkan jaga harta rakyat, akhirnya dia sendiri yang tidak amanah dengan penemuan audit negara dari tahun ke tahun. Pengawal yang sepatutnya kawal bank dari perompak akhirnya pengawal sendiri yang merompak dan membunuh warga kerja bank. Apa nak jadi dengan Malaysia ya Allah!!!

Rakyat terus bodoh dengan mempertahankan perundangan konvensional yang korup. Penjenayah yang ditangkap, diberi makan dengan duit rakyat dalam penjara, kerajaan saban hari dapat untung daripada kompaun yang dikutip, mangsa jenayah terus menjadi mangsa tanpa pembelaan, mangsa jenayah dan keluarga mereka terus dihimpit kesedihan dan bebanan perasaan tanpa ada tindakan yang memuaskan hati mereka.
Lihat dalam Islam, hukuman ke atas perompak seperti dalam kes ini:
إﻧﻤﺎ ﺟﺰاء اﻟﺬﯾﻦ ﯾﺤﺎرﺑﻮن اﻟﻠﻪ ورﺳﻮﻟﻪ وﯾﺴﻌﻮن ﻓﻲ اﻷرض ﻓﺴﺎدا أن ﯾﻘﺘﻠﻮا أو ﯾﺼﻠﺒﻮا أو ﺗﻘﻄﻊ أﯾﺪﯾﻬﻢ وأرﺟﻠﻬﻢ ﻣﻦ ﺧﻼف أو ﯾﻨﻔﻮا ﻣﻦ اﻷرض ذﻟﻚ ﻟﻬﻢ ﺧﺰي ﻓﻲ اﻟﺪﻧﯿﺎ وﻟﻬﻢ ﻓﻲ اﻵﺧﺮة ﻋﺬاب ﻋﻈﯿﻢ
Maksudnya: Hanyasanya balasan orang-orang yang memerangi Allah dan Rasul-Nya serta melakukan bencana kerosakan di muka bumi ialah dengan dibalas bunuh (kalau mereka membunuh sahaja dengan tidak merampas), atau dipalang (kalau mereka membunuh dan merampas), atau dipotong tangan dan kaki mereka bersilang (kalau mereka merampas sahaja), atau dibuang negeri (kalau mereka hanya mengganggu ketenteraman umum). Hukuman yang demikian itu adalah suatu kehinaan di dunia bagi mereka, dan di akhirat kelak mereka beroleh azab seksa yang amat besar. (Al-Maidah: 33)

Hukum bunuh dan salib bagi perompak yang mengambil harta dan membunuh mangsa boleh dikatakan sepakat. Tetapi bagaimanakah cara pelaksanaannya. Adakah disalib (ikat pada tiang) dahulu kemudian bunuh, atau bunuh kemudian salib mayatnya?

ﻓﻈﺎﻫﺮ ﻣﺬﻫﺐ اﻟﺸﺎﻓﻌﻲ رﺿﻲ اﻟﻠﻪ ﻋﻨﻪ أن ﯾﻘﺘﻞ ﺛﻢ ﯾﺼﻠﺐ وﻗﯿﻞ: ﯾﺼﻠﺐ ﺣﯿﺎ ﺛﻢ ﯾﻄﻌﻦ ﺣﺘﻰ ﯾﻤﻮت ﻣﺼﻠﻮﺑﺎ، وﻫﻮ ﻗﻮل اﻟﻠﯿﺚ ﺑﻦ ﺳﻌﺪ ،وﻗﯿﻞ :ﯾﺼﻠﺐ ﺛﻼﺛﺔ أﯾﺎم ﺣﯿﺎ ﺛﻢ ﯾﻨﺰل ﻓﯿﻘﺘﻞ .

Maksudnya: Menurut pendapat kuat di dalam mazhab Syafei, perompak (yang membunuh dan mengambil harta), hendaklah dibunuh (terlebih dahulu) dan disalib (diikat pada tiang). Ada juga berpendapat, ia disalib hidup-hidup dan ditikam sehingga mati. Pendapat ini pendapat Imam Al-Laith bin Saad. Ada pendapat yang menyatakan: disalib selama 3 hari, kemudian dirungkai ikatannya dan dibunuh.

Sebahagian pendapat melihat, keluarga si mati paling berhak menikam si perompak sewaktu berada di ikatannya.

Bagi yang melihat rakaman perompak menembak mangsa tanpa belas kasihan, maka paling wajar hukuman yang boleh menjadikan hati keluarga mangsa terubat, menginsafkan perompak yang lain daripada mengulangi perkara yang sama, maka saya yakin, inilah hukuman terbaik.

Jika keluarga mangsa diberikan pilihan, cara Islam ini paling boleh mengubat hati dan kesedihan keluarga si mangsa berbanding undang-undang konvensional yang mengabaikan pihak keluarga si mangsa.

Saya tidak tergamak nak upload gambar si mangsa semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya, Al-Fatihah.

Ya Allah, amankan Malaysia dengan undang-undang-Mu. Insyaallah, kami akan terus berjuang sehingga undang-undang-Mu yang adil dapat ditegakkan, seterusnya keamanan daripada jenayah akan dapat dikecapi.

Penulis ialah Ahli Majlis Syura Ulamak PAS

Tiada ulasan: