01 November 2013

Larangan dicabut, anggota parlemen Turki pakai jilbab

27 Zulhijjah 1434 H. [MOD] -


Ahli Parlimen Nurcan Dalbudak (tengah) dan Sevde Beyazit Kacar (kanan) hadir ke sesi Parlimen dengan memakai tudung di Ankara, Turki, semalam. - REUTERS

ANKARA 31 Okt. - Empat orang wakil rakyat wanita Turki hari ini menghadiri sidang Parlimen dengan memakai tudung, tindakan pertama seumpamanya dalam tempoh 14 tahun selepas kerajaan Islam Parti Pembangunan dan Keadilan (AKP) menarik balik larangan memakai tudung ke atas kakitangan kerajaan semalam.

Keputusan tersebut dibuat kerajaan Turki sebagai sebahagian pembaharuan bagi memperbaiki demokrasi serta kebebasan beragama, bagaimanapun larangan itu masih dikuatkuasakan terhadap hakim, pendakwa raya, polis dan anggota tentera.

Pada tahun 1999, penggubal undang-undang Turki kelahiran Amerika, Merve Kavakci, tampil memakai tudung bagi upacara angkat sumpah di Parlimen, namun beliau dihalau dan kerakyatan Turkinya ditarik balik.

Perdana Menteri Recep Tayyip Erdogan dalam reaksinya terhadap perkara itu berkata, tiada undang-undang di Parlimen yang menghalang pemakaian tudung.

"Semua pihak harus menghormati keputusan saudara wanita kita kerana mereka merupakan wakil negara ini di Parlimen," katanya.

Erdogan yang isterinya juga sering tampil dengan imej bertudung berkata, tindakan membantah pemakaian tudung di Parlimen ibarat satu cemuhan dan penghinaan terhadap Dewan tersebut serta agama Islam.

Keempat-empat Ahli Parlimen itu iaitu Gonul Bekin Sahkulubey, Nurcan Dalbudak, Gulay Samanci dan Sevde Beyazit Kacar mula memakai tudung selepas pulang dari menunaikan haji baru-baru ini.

"Saya tidak akan menanggalkan tudung saya lagi.

"Tindakan memakai tudung atau apa-apa perkara berkaitan agama adalah antara penganut dan Tuhannya. Saya berharap keputusan saya akan dihormati," kata Gonul. - AFP




No comments: