WAJAH baru Xu selepas menjalani pembedahan selama lapan jam.
Beijing: Sekumpulan pakar perubatan China berjaya menjalankan pembedahan memasang wajah baru untuk seorang gadis yang cacat akibat melecur, lapor media semalam.
Lebih menarik wajah gantian itu adalah hasil kulit yang tumbuh secara klinikal pada dada gadis terbabit.
Pembedahan itu dijalankan di bandar Fuzhou, Fujian, tenggara China.
Selepas pembedahan itu berjaya, Xu Jianmei, 17, sedar dengan dagu, kelopak mata dan telinga yang baru.
Xu ditimpa kemalangan ketika dia berusia lima tahun.
Kebakaran itu menyebabkan dia mengalami kecederaan parah pada wajahnya.
Disebabkan kemiskinan ibu bapa Xu tidak dapat menghantarnya mendapatkan rawatan yang sewajarnya, memaksa dia hidup dengan wajah tidak sempurna.
Namun Xu diberi harapan baru selepas ditemui sekumpulan pakar perubatan yang menawarkan pembedahan percuma kepadanya.
Kini, selepas 12 tahun Xu dapat mengukir senyuman dengan sempurna.
Pembedahan dijayakan selepas pakar perubatan membina kulit dan struktur baru menggunakan tisu dadanya.
Pasukan perubatan terbabit mengimplan saluran darah dari kaki Xu ke dadanya dan menggunakan belon berisi air bagi meregangkan kulit di bahagian itu.
Ia dilakukan dengan teliti bagi mendapatkan kulit secukupnya untuk dijadikan wajah baru Xu.
Klip video daripada prosedur pembedahan selama lapan jam menunjukkan Xu terbaring di katil dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Wajahnya kelihatan membengkak tetapi lapisan kulit baru yang licin kini menutupi wajahnya yang penuh dengan kesan melecur.
Ketua pasukan pembedahan itu, Jiang Chenhong berkata, dengan wajah baru itu Xu boleh menzahirkan ekspresi wajahnya dengan lebih tepat. - Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan