01 November 2013

Bajet 2014: Mana Janji BN Turunkan Harga Kereta?


27 Zulhijjah 1434 H. [MOD] -
PAS Sarawak

Dalam pembentangan bajet 2014 yang lalu, kerajaan BN tidak menyentuh langsung tentang penurunan harga kereta dan motorsikal. Harapan rakyat terutama golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana hampa kerana semasa PRU13 lalu, BN berjanji hendak menurunkan harga kenderaan.

Janji BN untuk menurunkan harga kereta antara 20 hingga 30 peratus dalam tempoh lima tahun  adalah realistik dan mampu dilaksanakan kata mantan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir kepada pemberita ketika diminta mengulas Manifesto BN menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 yang lalu.

Ini jelas menunjukkan bahawa kerajaan BN tidak melaksanakan  janji kepada rakyat seperti mana tema bajet 2014 “Memperteguh Ketahanan Ekonomi, Memperkasa Transformasi Dan Melaksana Janji”. Akibat kenaikan harga bahan api, pengguna terpaksa berbelanja lebih untuk kenderaan mereka dan ini sudah tentu membebankan mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana.

Rakyat Malaysia yang berpendapatan sederhana dan rendah hanya mampu membeli kereta yang dikeluarkan oleh Proton atau Perodua sahaja disebabkan cukai kereta impot adalah terlalu tinggi kerana dasar kerajaan Malaysia untuk melindungi Proton. Kereta impot lebih baik dari segi keselamatan dan kualiti kalau dibandingkan dengan kereta tempatan walaupun dikenakan cukai tinggi.

Kereta adalah keperluan asas untuk bergerak kemana-mana saja pada masa sekarang, ianya bukan lagi barang mewah yang hanya mampu dimiliki oleh orang-orang yang berada tapi untuk semua golongan masyarakat. Walaupun golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana hanya mampu membeli kenderaan tempatan tetapi harganya masih juga tinggi dan kurang bermutu.

Umum tahu, selama ini kerajaan telah melindung kereta nasional dengan mengenakan regim tarif dan eksais yang tinggi atas kereta-kereta impot dan tempatan  sehingga harga kereta-kereta impot termasuk kereta nasional kita contohnya model Waja tempatan adalah dua kali ganda harganya berbanding di Saudi Arabia.  Di bawah sistem cukai sekarang, cukai adalah separuh dari harga kereta yang dibayar oleh rakyat maknanya jika anda membeli kereta pada harga RM50,000, sebanyak RM25,000 daripada harga tersebut adalah bayaran cukai kepada kerajaan.

Kita sebagai pengguna berhak untuk menyuarakan pendangan terhadap senario yang berlaku sekarang. Di manakah kedudukan AFTA yang pernah dicanangkan lebih 10 tahun yang lalu? Sampai bilakah kerajaan patut memberikan tongkat kepada Proton dan Perodua? Dan sampai bilakah rakyat Malaysia harus membeli produk dari pengeluar kenderaan lain yang harus berdepan cukai kereta import yang agak tinggi dan menekan golongan bawahan.

Kita mengesa kerajaan Malaysia mengkaji semula duti eksais keatas kenderaan impot agar ianya tidak terlalu membebankan rakyat yang terpaksa menanggung kos yang tinggi sehingga harga kereta import berlipat ganda dari pasaran antarabangsa.

Kalau mahu kereta tempatan berdaya saing dengan kereta import, kerajaan perlu menambahbaik mutu serta tahap keselamatan dalam buatan kereta tempatan dengan harga yang berpatutan.

Kita tidak mahu dengar pemimpin kerajaan mengatakan kita terpaksa menaikkan harga kereta kerana kita tidak mahu rakyat mati kecelakaan. Kalau itu alasannya, adalah lebih  baik Malaysia menggunakan kenderaan yang menggunakan tenaga solar dengan kelajuan yang tidak melebihi had laju 100 km sejam. Buat lebih banyak lagi lorong untuk basikal dan kenderaan yang mesra alam. Bukan saja boleh jimatkan minyak bahkan ianya selamat untuk pengguna dan alam sekitar.

Janganlah semua bebanan dipikul dan ditanggung oleh rakyat semata-mata ingin melindungi kepentingan pihak tertentu. Rakyat perlu diberi keutamaan, kalau kerajaan benar-benar ikhlas melihat rakyat hidup sejahtera dan aman.

Jofri Jaraiee
PAS Sarawak

Tiada ulasan: