01 November 2013

Sg Limau: Pemuda PAS serah memo kepada Agong

27 Zulhijjah 1434 H. [MOD] -
Harakahdaily,31 Okt 2013
JERAI: Dewan Pemuda PAS Kedah hari ini menyerahkan satu memorandum kepada Yang DiPertuan Agong berhubung dakwaan penyalahgunaan premis awam dan eksploitasi kakitangan kerajaan untuk kempen BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Limau.

Penyerahan memorandum itu dibuat ketuanya Mohd Nasir Zakaria di Wisma Darul Aman petang ini.

Kandungan memorandum itu antara lain mahu baginda selaku penaung kepada kakitangan awam, agar campur tangan dengan menasihatkan perdana menteri agar tidak menyalahgunakan premis awam dan tidak mengeksploitasi kakitangan kerajaan untuk kempen BN.

Dalam memorandum itu juga turut dilampirkan bebarapa bukti sokongan termasuk program Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama calon BN yang menggunakan pejabat Mada, Bukit Besar pada 26 Oktober lalu.


Selain itu mereka juga mempersoal program Muhyiddin bersama calon BN di SMK Sungai Limau pada tarikh sama yang turut mengerah guru-guru menghadirinya.

Satu lagi program berlangsung pada 31 Oktober iaitu pertemuan Datuk Shafie Afdal dengan seluruh PIBG sekolah bertempat di Sekolah Kebangsaan Sedaka.

BN juga didakwa telah menggunakan pegawai kebajikan masyarakat sebagai perayu undi mereka menjelang pilihan raya kecil ini.

Sehubungan itu mereka mahu perjalanan pilihan raya kali ini berlangsung adil dengan pihak BN tidak menyalahgunakan premis awam dan kakitangan awam untuk kempen mereka.

Tiada ulasan: