01 November 2013

Khutbah Jumaat : "Mempringati Peristiwa Hijrah"

27 Zulhijjah 1434 H. [MOD] -

اَلْحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ.
أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ  وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُوْلُ  الله .
اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Sidang Jumaat yang dikasihi kerana Allah SWT,
Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah SWT dengan sebenar-benar taqwa. Dan janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah SWT sempena tahun baru Hijrah 1435 yang bakal menjelang beberapa hari lagi dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala tegahanNya.
Sidang Jumaat yang dimuliakan,
Sesetengah kisah apabila diulang-ulang akan menimbulkan jemu dan bosan sebagaimana kata pepatah: “Kisah yang diulang-ulang menjemukan”. Sesetengah kisah pula apabila semakin diulang menjadi semakin hebat dan penuh pengajaran. Di antara tajuk-tajuk yang tidak lekang dek panas, tidak lapuk dek hujan ialah berkenaan sirah kehidupan Nabi Muhammad SAW. Pada sirahnya padat dengan pengajaran, terus bersinar sepanjang zaman. Bersempena tahun hijrah 1435H yang bakal tiba, mari kita mengimbau kembali detik-detik penghijrahan junjungan baginda SAW. Hati yang rindu dan telinga yang mahu, pasti tidak jemu mendengar kisah sang kekasih supaya bertambah sinar imannya seumpama emas yang disaring kepada api maka semakin disaring semakin bertambah sinar dan gemerlapan.  

Sidang Jumaat yang dikasihi,
Pengajaran pertama yang jelas kepada kita daripada peristiwa hijrah ialah para pejuang akidah dan penegak fikrah mesti berkorban pada jalannya, sanggup bersusah payah kerananya, dia melihat bahawa keletihan pada jalan dakwah itu mampu merehatkan hati dan melapangkan dada. Sementara kesusahan dan mujahadah itu meneguhkan jiwa dan menetapkan langkah. Inilah Muhammad SAW keluar daripada rumahnya berhijrah pada jalan tuhannya, sungguh-sungguh atas dakwahnya dan menuntut redha tuhan-Nya. Tidaklah hijrah dari Mekah ke Madinah pada masa tersebut merupakan permusafiran yang dekat dan perjalanan yang mudah, bahkan adalah ia pada keadaan yang cukup sukar, terpaksa menghadapi bahaya dan risiko. Cukuplah bagi kita bayangkan sekiranya Rasulullah SAW jatuh ke tangan orang-orang musyrikin ketika itu, nescaya akibatnya adalah kebinasaan dan kematian. Sesungguhnya mereka telah merancang awal-awal untuk membunuh baginda SAW. Firman Allah SWT dalam surah al-anfal ayat 30:  
وَإِذْ يَمْكُرُ بِكَ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ لِيُثْبِتُوكَ أَوْ يَقْتُلُوكَ أَوْ يُخْرِجُوكَ ۚ وَيَمْكُرُونَ وَيَمْكُرُ ٱللَّهُ ۖ وَٱللَّهُ خَيْرُ ٱلْمَـٰكِرِينَ ﴿٣٠﴾
Dan ingatlah (wahai Muhammad), ketika orang-orang kafir musyrik (Makkah) menjalankan tipu daya terhadapmu untuk menahanmu, atau membunuhmu, atau mengusirmu. Mereka menjalankan tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya (mereka), kerana Allah sebaik-baik yang menggagalkan tipu daya.

Sidang Jumaat yang dihormati,
Rasulullah SAW keluar dari tempat tinggal dan negeri yang amat dicintainya menuju ke suatu tempat yang baru. Maka apakah kekuatan yang mendorong baginda SAW untuk merentasi padang pasir yang kering kontang sehingga terdedah kepada kepanasan dan bahangnya sedangkan ketika itu baginda SAW berada dalam keadaan fakir dari segi harta, sedikit pengikut, lemah dari segi kelengkapan, tua dari segi umur yang ketika itu telah melangkaui usia lima puluh tahun? Apakah yang mendorongnya atas yang demikian? Sekiranya baginda SAW menghendaki habuan dunia, kehidupan yang selesa, kedudukan yang baik dan nikmat yang melimpah ruah di negerinya, maka sebenarnya mereka telah menawarkan kepadanya; mereka menawarkan harta dan wanita cantik, kepimpinan dan kekuasaan hanya dengan satu syarat iaitu tinggalkan dakwah tauhid ini, atau tinggalkan mencela tuhan-tuhan mereka, atau memilih jalan tengah iaitu Muhammad menghormati agama mereka dan mereka akan menghormati agama anutan Muhammad tetapi baginda SAW enggan kerana menyeru kepada kebenaran yang hakiki. Firman Allah SWT dalam surah Yunus ayat 32: 
فَذَ‌ٰلِكُمُ ٱللَّهُ رَبُّكُمُ ٱلْحَقُّ ۖ فَمَاذَا بَعْدَ ٱلْحَقِّ إِلَّا ٱلضَّلَـٰلُ ۖ فَأَنَّىٰ تُصْرَفُونَ ﴿٣٢﴾
Maka yang demikian (sifatNya dan kekuasaanNya) ialah Allah, Tuhan kamu yang sebenar-benarnya; sesudah nyatanya sesuatu yang betul dan benar, maka tidakkah yang lain daripada itu salah dan karut sahaja? Oleh itu, bagaimana kamu dapat dipesongkan dari kebenaran?

Baginda SAW turut melaungkan sebagaimana tuhan-Nya mengajarkan di dalam surah al-kafirun ayat 6:
لَكُمْ دِينُكُمْ وَلِيَ دِينِ ﴿٦﴾
(6) "Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku".

Sidang Jumaat sekelian,
Alangkah indah seorang Muslim pada hari dia meniti tahun baru hijrah lantas dia turut menjadikan peristiwa hijrah sebagai satu titik perubahan di dalam kehidupannya. Maka dia berpindah dari keadaan yang tidak diredhai kepada keadaan yang dirahmati. Dia bersungguh-sungguh menguatkan jiwa dan menyucikan hati. Firman Allah SWT dalam surah Fatir ayat 18:
وَمَن تَزَكَّىٰ فَإِنَّمَا يَتَزَكَّىٰ لِنَفْسِهِۦ ۚ وَإِلَى ٱللَّهِ ٱلْمَصِيرُ ﴿١٨﴾
Dan sesiapa yang membersihkan dirinya (dari segala yang dilarang) maka sesungguhnya ia melakukan pembersihan itu untuk kebaikan dirinya sendiri dan (ingatlah), kepada Allah jualah tempat kembali




خطبة كدوا
اَلْحَمْدُ للهِ القَائِلِ :
لَّقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا ﴿٢١﴾
(21) Demi sesungguhnya  adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)

أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ.
Sidang Jumaat sekelian,
Antara pengajaran yang boleh kita ambil dari kisah hijrah ini ialah:
1.       Peristiwa hijrah mengajar kita pergantungan yang mutlak kepada Allah SWT. Sesungguhnya baginda SAW keluar berhijrah sedangkan tiada baginya pasukan tentera yang mengawal bahkan bersamanya hanya seorang teman sejati. Tiada baginya kelengkapan pertahanan atau bom yang mampu menghalang dari musuh. Tidak pula baginda bersembunyi di dalam kubu yang kukuh hanyasanya di dalam gua yang terbuka. Tidak terdapat juga kereta-kereta kebal yang mengawasi dan hanyasanya yang muncul di pintu gua itu burung-burung merpati dan labah-labah sebagai ganti. Baginda SAW juga tidak menggunakan ketika hijrahnya kapal terbang atau helikopter, hanyasanya bagi mereka berdua itu dua ekor unta; seekor ditungganginya dan seekor lagi untuk Abu Bakar RA. Apa yang hendak diharapkan dari semua ini?  Ya, sesungguhnya Rasulullah SAW tidak menyediakan persiapan hijrah yang hebat kerana inilah sekadar kemampuan, tetapi mereka telah berhijrah dengan penuh ikhlas dan yakin, percaya kepada Allah SWT dan bergantung hanya padanya. Di sana, akhirnya datanglah bantuan dan pertolongan Allah SWT.  Allah jadikan yang sedikit itu banyak, yang lemah itu hebat. Datanglah bantuan Allah Yang Maha Kuat lagi Maha Berkuasa.  Firman Allah SWT dalam surah at-Taubah ayat 40:
إِلَّا تَنصُرُوهُ فَقَدْ نَصَرَهُ اللَّهُ إِذْ أَخْرَجَهُ الَّذِينَ كَفَرُوا ثَانِيَ اثْنَيْنِ إِذْ هُمَا فِي الْغَارِ إِذْ يَقُولُ لِصَاحِبِهِ لَا تَحْزَنْ إِنَّ اللَّهَ مَعَنَا ۖ فَأَنزَلَ اللَّهُ سَكِينَتَهُ عَلَيْهِ وَأَيَّدَهُ بِجُنُودٍ لَّمْ تَرَوْهَا وَجَعَلَ كَلِمَةَ الَّذِينَ كَفَرُوا السُّفْلَىٰ ۗ وَكَلِمَةُ اللَّهِ هِيَ الْعُلْيَا ۗ وَاللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ ﴿٤٠﴾
(40) Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah telahpun menolongnya, iaitu ketika kaum kafir (di Makkah) mengeluarkannya (dari negerinya Makkah) sedang ia salah seorang dari dua (sahabat) semasa mereka berlindung di dalam gua, ketika ia berkata kepada sahabatnya: "Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita". Maka Allah menurunkan ketenangan kepadanya (Nabi Muhammad) dan menguatkannya dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak melihatnya. Dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang-orang kafir terkebawah (kalah dengan sehina-hinanya), dan Kalimah Allah (Islam) ialah yang tertinggi (selama-lamanya), kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

2.       Mesti ada usaha bersama cita-cita, mesti menggunakan akal bersama sifat tawakkal, mesti berusaha bersungguh-sungguh bersama minta bantuan dengan Allah azza wajalla.

3.       Golongan yang menipu daya akan tewas dengan daya upaya dan kekuasaan sang Pencipta sebaliknya golongan mukmin yang bersungguh-sungguh walaupun bilangan mereka sedikit akan mencapai kemenangan. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 249:
قَالَ الَّذِينَ يَظُنُّونَ أَنَّهُم مُّلَاقُو اللَّهِ كَم مِّن فِئَةٍ قَلِيلَةٍ غَلَبَتْ فِئَةً كَثِيرَةً بِإِذْنِ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ مَعَ الصَّابِرِينَ ﴿٢٤٩﴾
(249) Berkata pula orang-orang yang yakin bahawa mereka akan menemui Allah: "Berapa banyak (yang pernah terjadi), golongan yang sedikit berjaya menewaskan golongan yang banyak dengan izin Allah; dan Allah (sentiasa) bersama-sama orang-orang yang sabar".

Wahai pengikut Nabi Muhammad SAW,
Sesunguhnya peristiwa hijrah saban tahun merupakan peringatan dan peringatan itu memberi manfaat kepada orang-orang yang beriman. Sesungguhnya kekasih kita Rasulullah SAW pernah bersabda berkenaan hijrah :
لاَ هِجْرَةَ بَعْدَ الْفَتْحِ وَلَكِنْ جِهَادٌ وَنِيَّةٌ
“Tiada lagi hijrah selepas pembukaan Kota Mekah tetapi yang masih ada ialah jihad dan niat”- Riwayat  Imam Bukhari.



Namun pintu hijrah rohani tetap terbuka luas hinggalah berlakunya kiamat.  Rasullah SAW bersabda yang bermaksud:
وَالْمُهَاجِرُ مَنْ هَجَرَ مَا نَهَى اللَّهُ عَنْهُ
“Orang yang berhijrah ialah mereka yang meninggalkan larangan Allah” (HR Imam Bukhari).

Mereka yang berhijrah daripada perkara-perkara yang dilarang mesti juga sungguh-sungguh melakukan perkara-perkara yang disuruh. Itulah sebenar-benar hijrah yang mesti kita tanam dan pasak di dalam hati dan jiwa kita, keluarga dan umat seluruhnya. Mudah-mudahan Tuhan Yang Maha Pemberi Kurnia memberikan kita taufik pada permulaan tahun hijrah yang baru ini untuk melakukan hijrah rohani, akhlak dan jiwa. Kita suci dan bersihkan jiwa dengan kasih sayangnya. Kita luhurkan akhlak dengan bantuannya. Hanya Allah SWT sahaja yang mampu memberi hidayah terhadap sesiapa yang Dia kehendaki kepada jalan yang lurus.

     اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ، وَاجْعَلْ فِى قُلُوْبِهِمُ الإِيْمَانَ وَالحِكْمَةَ، وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّ اللهِ عَلَيهِ وَسَلَّم .
اَللَّهُمَّ أَعِزَّ الإِسْلاَمَ وَالْمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ الإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اَللَّهُمَّ دَمِّرِ الْكَفَرَةَ وَالْمُشْرِكِيْنَ، وَأَهْلِكْ أَعْدَائَكَ أَعْدَاءَ الدِّيْنِ.
اَللَّهُمَّ عَذِّبِ اْلكَفَرَةَ الَّذِيْنَ يَصُدُّوْنَ عَنْ سَبِيْلِكَ، وَيُكَذِّبُوْنَ رُسُلَكَ، وَيُقَاتِلُوْنَ أَوْلِيَائَكَ، اَللَّهُمَّ بَدِّدْ شَمْلَهُمْ وَفَرِّقْ جَمْعَهُمْ،  وَزَلْزِلْ أَقْدَامَهُمْ، وَسَلِّطْ عَلَيْهِمْ كَلْبًا مِنْ كِلاَبِكَ.
اَللَّهُمَّ يَا مُنْزِلَ الْكِتَابِ، وَيَا مُجْرِيَ السَّحَابِ، وَيَا هَازِمَ الْأَحْزَابِ، إِهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ، بِقُدْرَتِكَ وَقُوَّتِكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِينَ.
اَللَّهُمَّ وَفِّقْ سلطان أزلن مُحِبُّ الدِّيْن شاه اِبْنِ اَلْمَرْحُوْمِ سلطان يُوْسُف عِزُّ الدِّيْن شَاه غَفَرُ اللهُ لَهُ بِمَا تُحِبُّ وَتَرْضَاهُ.
رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الأخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ، وَصَلَّى الله عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى ءَالِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ.
إِنَّ الله يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالإِحْسَانِ، وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ، يَعِظُكُم لَعَلَّكُم تَذَكَّرُوْنَ.
فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.
Teks Sumbangan : Jabatan Agama Islam Negeri Perak.

Tiada ulasan: