24 Disember 2013

35 parti politik sedia bertarung pada PRU Thailand

20 Safar 1435H. [MOD] -

Peserta demonstrasi anti kerajaan membawa bendera Thailand ketika berarak ke Jabatan Siasatan Khas di Bangkok semalam. Gambar oleh Reuters.Peserta demonstrasi anti kerajaan membawa bendera Thailand ketika berarak ke Jabatan Siasatan Khas di Bangkok semalam. Gambar oleh Reuters.














Sejumlah 35 parti politik setuju bertanding pada pilihan raya umum (PRU) Thailand pada 2 Februari ini, meskipun terdapat gesaan untuk memboikotnya oleh Jawatankuasa Reformasi Demokratik Rakyat (PRDC) yang diketuai Suthep Thaugsuban.

Anggota PRDC cuba menyekat parti terbabit daripada mendaftarkan calon masing-masing namun sembilan parti politik, termasuk parti kerajaan sementara iaitu Pheu Thai pimpinan Perdana Menteri Yingluck Shinawatra, berjaya mendaftarkan calon mereka di stadium Thai-Jepun (Dindaeng), kata Timbalan Ketua Setiausaha Suruhanjaya Pilihanraya bagi pentadbiran pilihan raya, Somsak Suriyamongkol.
Lapan parti politik lain ialah New Democrat, Chatpattana, Dumrongthai, Kasikornthai, Tinkakhao, Progressive Democratic, Chartthaipattana dan The Farmer Network of Thailand.
Sejumlah 25 lagi parti politik melapor diri di Balai Polis Dindaeng manakala satu di Bahagian Pencegahan Jenayah Polis Thailand selepas gagal memasuki stadium berkenaan.
Penunjuk perasaan memulakan demonstrasi mereka di depan stadium itu dan Balai Polis Dindaeng sejak awal pagi semalam, menyebabkan wakil parti politik sukar mendaftar calon mereka bagi sistem pendaftaran senarai parti.
Pendaftaran dijadual berlangsung sehingga 27 Disember ini dan Suruhanjaya Pilihanraya dijangka mengkaji semula situasi itu.
Penunjuk perasaan masih berada di stadium berkenaan dan ada antara mereka dilihat bersedia untuk bermalam di situ dalam usaha mengganggu proses pendaftaran yang bersambung hari ini.
Bagaimanapun, mereka meninggalkan Balai Polis Dindaeng pada kira-kira 5 petang.
Terdahulu, pada sebelah pagi, penunjuk perasaan menyekat laluan ke balai polis itu selepas mendengar bahawa wakil parti politik akan ke sana untuk pendaftaran.
Bekalan elektrik dan air ke balai polis berkenaan juga dipotong.
Terdapat cubaan untuk mencetus panik pada sebelah pagi apabila dua lelaki berpakaian gelap melempar mercun berhampiran balai polis itu, namun usaha mereka gagal. - Bernama

Tiada ulasan: