24 Disember 2013

Pusat pemeriksaan Tebedu tidak ditutup - Polis

20 Safar 1435H. [MOD] -

KUCHING: Polis hari ini menyangkal khabar angin pusat pemeriksaan di Tebedu, Serian sempadan Malaysia-Indonesia, kira-kira 95 km dari sini, ditutup kerana kononnya berlaku kekacauan di Pontianak, ibu kota wilayah Kalimantan Barat Indonesia.

Ketua Polis Daerah Serian DSP Mohd Jamali Uni berkata pusat pemeriksaan itu dibuka seperti biasa dan beroperasi selama 12 jam sehari dari pukul 6 pagi.

Beliau memberitahu Bernama bahawa perkhidmatan bas awam antara Kuching dan Pontianak juga kembali beroperasi seperti biasa selepas perkhidmatannya terjejas minggu lepas kerana dakwaan berlaku peras ugut dalam perjalanan (di wilayah Indonesia).

"Walaupun wujud dakwaan sedemikian, kami tidak menerima sebarang laporan lagi (daripada pengusaha bas) dan sungguhpun keadaan nampak kembali normal, kami akan terus membuat pemantauan," katanya.

Sementara itu, sumber dari Imigresen di sini bersetuju dengan Mohd Jamali dan berkata tiada arahan dikeluarkan untuk menutup pusat pemeriksaan itu buat sementara atas sebab keselamatan.

Pusat pemeriksaan Tebedu ialah satu daripada beberapa laluan yang menghubungkan Sarawak dan Kalimantan Indonesia. Perkhidmatan bas di laluan itu dikendalikan oleh empat syarikat bas ekspres Sarawak dan dua dari Indonesia.

Terdapat dakwaan daripada pengusaha bas bahawa bas yang memasuki Pontianak dari Sarawak dihalang oleh sekumpulan orang yang menuntut wang, untuk membolehkan mereka meneruskan perjalanan, dan berikutan itu beberapa pengusaha bas di Sawarak enggan menjalankan perkhidmatan di laluan itu. - Bernama

Tiada ulasan: