24 Disember 2013

Brunei bantu laksana hudud

20 Safar 1435H. [MOD] -

  • Brunei bantu laksana hududAhmad ketika mengadakan pertemuan dengan Sultan Hassanal Bolkiah, minggu lalu.
 1 / 1 
KOTA BHARU -  Kerajaan Kelantan akan mengadakan kerjasama erat dengan kerajaan Brunei termasuk menghantar pegawai bertanggungjawab bagi melihat pelaksanaan hukuman hudud  di negara terbabit.

Perkara itu antara yang diputuskan selepas pertemuan pemimpin kerajaan Kelantan diketuai Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob bersama Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah dan menterinya pada lawatan ke negara terbabit dari 17- 20 Disember  yang lalu.


Ahmad berkata, pihaknya menghargai kerjasama Sultan Hassanal Bolkiah yang menerima kunjungan delegasi kerajaan negeri dengan mengarahkan semua agensi yang terlibat dalam perlaksanaan hudud di negara itu memberi kerjasama  kepada Kelantan.

Katanya, dalam kunjungan seramai lapan pemimpin kerajaan negeri itu, pihaknya telah dibawa dan diberi penerangan berkaitan pelaksanaan hukuman itu di empat jabatan iaitu kementerian Hal Ehwal Ugama, Pejabat Peguam Negara,  Mahkamah Syariah dan Pejabat Mufti Brunei.

“Kunjungan ini pada asasnya adalah untuk mengucapkan tahniah kepada kerajaan Brunei yang mewartakan kanun jenayah syariah, sebenarnya Brunei tidak mempunyai masalah yang besar kerana Sultan mempunyai kuasa penuh. Titah Sultan terus jadi undang-undang.

“Kita juga ada bertanya adakah ada masalah semasa melaksanakan undang-undang ini dan mereka nyatakan tiada bantahan kecuali  pihak kedutaan asing untuk mendapatkan penerangan. Ia sememangnya beri rangsangan untuk negeri melaksana hudud yang kita telah luluskan di Dun sejak 1993,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Delegasi itu dihadiri dua Exco Kerajaan Negeri, Datuk Nassuruddin Daud, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Zainuddin Ibrahim, Mufti Kelantan, Datuk Mohd Syukri Mohamad, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEIK) Datuk Che Mohd Rahim Jusoh, Timbalan Exco, Datuk Hassan Mahmod dan Pengarah Institut Pemikiran Tok Guru  (IPTG), Dr Che Samsudin Mohammad Noor.

Ahmad yang juga Pesuruhjaya Pas Kelantan berkata, dalam pertemuan itu, Sultan Hassanal Bolkiah turut bertitah supaya kerajaan negeri komited dan tidak bimbang dengan pelaksanaan  hukuman itu kerana ia adalah undang-undang ALLAH SWT.

“Baginda bertitah kepada rombongan itu, ‘Jangan takut, ia adalah undang-undang ALLAH’,' Kata-kata ini benar-benar memberi rangsangan yang besar kepada kami untuk memastikan perlaksanaan ini berjaya,” katanya.

Menurutnya, kos lawatan itu ditanggung kerajaan Brunei.

Katanya, pegawai kerajaan Brunei pernah hadir di Kelantan  pada 2006 untuk mengkaji undang-undang yang diluluskan di negeri ini, namun kerana berkat dan kemudahan dari negara itu mampu merealisasikan hukuman itu lebih awal dari Kelantan.

Mengenai pelaksanaan hudud di Kelantan, Ahmad berkata, pihaknya sedang menunggu keputusan dari persidangan meja bulat yang dipengerusikan Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

“Ada pelbagai pandangan sama ada perlu pindaan perlembagaan atau tidak. Kita akan buat rumusan di meja bulat ini. Mungkin kita laksanakan  apa yang  boleh dulu mengikut fasal, kita gabungkan undang panel kod dan takzir dulu, sebelum hudud dilaksanakan.

“Berdoalah semoga semua pihak memahami dan melihat (keberkesanan hudud) Brunei. Ia tidak menjejaskan industri. Sudah sampai masa jenayah negara kita ditangani  dengan kanun jenayah syariah,” katanya.

sinarharian.com.my

Tiada ulasan: