24 Disember 2013

Lelaki terima jantung tiruan pertama

20 Safar 1435H. [MOD] -

PARIS 23 Dis. - Sepasukan doktor Perancis mencatat sejarah baharu dalam bidang perubatan apabila berjaya melaksanakan pemindahan jantung tiruan ke atas seorang pesakit lelaki di sebuah hospital, di sini pada minggu lalu.

Pengarah Firma Bioperubatan Carmat, Marcello Conviti berkata, pesakit itu telah sedar dan menunjukkan perkembangan positif selepas pembedahan pemindahan tersebut dilakukan di Hospital Georges Pompidou pada Rabu lalu.


Conviti berkata, jantung tiruan seberat 900 gram yang tiga kali lebih berat berbanding jantung sebenar itu, mampu berdenyut untuk tempoh lima tahun.

Jelasnya, jantung itu yang dibangunkan oleh sepasukan jurutera anak syarikat aeroangkasa EADS, Airbus, mempunyai otot tiruan jantung dan sensor yang mampu menyesuaikan aliran darah mengikut pergerakan pesakit.

"Bahagian dalam jantung itu diperbuat daripada tisu lembu, bukannya bahan sintetik seperti plastik yang boleh menyebabkan darah beku.

"Saya berbangga dengan kejayaan pemindahan jantung tiruan pertama di dunia ini, walaupun masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan memandangkan ini adalah pembedahan pertama seumpamanya," kata Conviti.

Seorang daripada pakar bedah yang terlibat dalam pemindahan itu, Alain Carpentier berkata, pencapaian hebat tersebut boleh membantu pesakit jantung yang sebelum ini menunggu lama untuk mendapatkan organ berkenaan.

"Penggunaan jantung tiruan memberi peluang kepada pesakit untuk menjalani kehidupan yang normal tanpa perlu terlalu bergantung kepada bantuan perubatan.

"Jantung ini juga boleh memberi kelebihan kepada pesakit untuk bergerak lebih banyak dan meminimumkan risiko darah beku," jelasnya.

Kos pemindahan jantung itu dianggarkan berharga kira-kira 150,000 pound (RM804,145) jika dihasilkan secara meluas di seluruh dunia.

Malah syarikat Carmat mampu menghasilkan jantung tiruan yang lebih kecil untuk digunakan oleh pesakit wanita, begitu juga dengan pesakit di Asia. - AGENSI


Tiada ulasan: