Lebih RM49 juta wang rebat Touch’ n Go masih belum dituntut kira-kira lima juta pengguna kemudahan tersebut kerana tidak sedar kewujudan tawaran berkenaan atau merasakan prosesnya rumit.
Kemudahan rebat Touch’ n Go diberikan sebanyak 20 peratus kepada pengguna yang menggunakan kemudahan itu sebanyak 80 kali sebulan.
“Saya pernah cuba menebus rebat, tapi diberitahu hanya tempat tertentu mengendalikannya. Sepatutnya pihak terbabit menambah lokasi penebusan untuk kemudahan pengguna,” kata seorang peniaga, Noridin Saat seperti dipetik daripada akhbar Sinar Harian.
Rebat Touch’ n Go merupakan salah satu daripada 11 hadiah mesra rakyat yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 2009.
Sebelum boleh menikmati rebat ini, pengguna perlu terlebih dahulu mendaftarkan kad mereka di www.touchngo.com.my dan rebat itu boleh ditebus di semua kaunter jualan Touch’ n Go di kebanyakan lebuh raya.
“Sejak menggunakan kemudahan Touch’ n Go tiga tahun lalu, hari ini (semalam) baru saya tahu mengenai rebat itu,” kata pengguna, Jeevaraj Ganesan.
“Dengan perbelanjaan RM150 untuk tol, mungkin saya sudah dapat tebus banyak rebat kalau saya tahu dari mula,” katanya.
Sinar Harian memetik sumber yang menggatakan terdapat 100,000 pengguna yang pernah membuat tuntutan rebat tetapi hanya 70,000 yang melakukannya secara kosnsisten.
Prof Datuk Amir Baharuddin dari Universiti Utara Malaysia memberitahu Sinar Harian, lebih baik kerajaan tidak menaikkan harga tol daripada memberikan rebat sebanyak 20 peratus.
“Jika kadar tol sedia ada dikekalkan ia dapat dinikmati semua peringkat.
“(Dari) 20 ke 40 peratus adalah mainan nombor sahaja. Bagi rebat atau tidak sama sahaja. Apa yang penting sekarang kerajaan jangan naikkan kadar tol.
“Kenaikan harga petrol (RON95) dan gula pun sudah cukup buat rakyat terbeban. Kalau dinaikkan kadar tol, semua barang akan naik lagi,” katanya.TMI/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan