24 Disember 2013

Apple, China Mobile tandatangan perjanjian pasar iPhone

20 Safar 1435H. [MOD] -
Apple, China Mobile tandatangan perjanjian pasar iPhone
NNEW YORK: Pengeluar telefon pintar, Apple mencapai persetujuan untuk membawa iPhone ke dalam syarikat penyedia rangkaian China Mobile, syarikat telekomunikasi terbesar di dunia.

Perjanjian itu menamatkan pertikaian yang tercetus dan mampu meningkatkan jualan iPhone di China. Model iPhone menjadi popular satu ketika dulu di China, namun merudum selepas mendapat saingan sengit daripada pengeluar telefon pintar lain, yang jauh lebih murah seperti Samsung dan model tempatan lain. 



Model iPhone 5S dan 5C akan mula dijual di kedai Apple dan China Mobile bermula 17 Januari, tahun depan. 

Pelanggan China Mobile yang ingin mendapatkan model iPhone itu boleh mendaftar bermula Hari Krismas ini.

iPhone yang popular di seluruh dunia, menghadapi persaingan sengit sejak kebelakangan ini berikutan tekanan daripada telefon pintar perisian Android yang jauh lebih murah. Berdasarkan kaji selidik yang dijalankan, telefon Android dijual lebih banyak dari iPhone di seluruh dunia.

Perjanjian itu akan membolehkan Apple menerokai pasaran gergasi China dengan China Mobile yang dianggarkan mempunyai 760 juta pelanggan tetap.

Rangkaian itu juga akan menyaksikan penggunaan rangkaian 4G terbesar dunia. 
“Kami tahu ramai pelanggan China Mobile dan potensi pelanggan baru yang menunggu kami dalam perkongsian antara iPhone dan China Mobile sebagai penyedia rangkaian utama,” kata Pengerusi China Mobile, Xi Guohua. 

Ketua Eksekutif Apple, Tim Cook berkata: "China adalah pasaran yang amat penting kepada Apple dan perkongsian kami dengan China Mobile memberikan kami peluang untuk membawa iPhone kepada pelanggan rangkaian terbesar dunia."

Beliau berkata: "Pengguna iPhone di China menyaksikan pertumbuhan yang hebat dan sebagai meraikan Tahun Baru China nanti, iPhone dan China Mobile mahu memastikan iPhone dalam genggaman pengguna di China yang sentiasa mahu memilikinya.

Rundingan antara Apple dan China Mobile bermula beberapa tahun dengan halangan utama mereka yang dilaporkan ialah firma gergasi Amerika itu menuntut satu jaminan dalam kadar jualan.

Penganalisis, Horace Dediu di firman perunding Asymco, berkata anggaran yang konservatif menunjukkan empat peratus pelanggan China Mobile akan membeli 30 juta iPhone dalam tahun pertama perkongsian itu.

Firma penyelidik Cantor Fitzgerald Research menganggarkan, antara 35 juta hingga 45 juta unit iPhones kini berada dalam rangkaian China Mobile sehingga Oktober lalu meskipun persetujuan antara kedua-dua syarikat telefon pintar itu belum dicapai.

"Apple mampu menjual sehingga 24 juta iPhones dalam rangkaian China Mobile tahun depan," kata Cantor Fitzgerald.

Bagimanapun, analisis Morgan Stanley baru-baru ini menganggarkan Apple hanya menokok sekitar 12 juta unit iPhone dalam jualannya untuk tahun depan bersama China Mobile. - AP/AFP

Tiada ulasan: