Kuala Lumpur: AirAsia menyokong penuh keputusan kerajaan Malaysia dan Singapura untuk memulakan Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) antara kedua-dua negara, dan sekali gus menyambung perkhidmatan udara bagi laluan penerbangan yang antara paling sibuk di dunia itu.
Justeru, AirAsia akan menyambung kembali penerbangan antara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) dan Lapangan Terbang Changi mulai 29 November, 2021.
Sebagai permulaan bagi operasi VTL, AirAsia akan mengendalikan tujuh penerbangan seminggu dari Kuala Lumpur ke Singapura.
"Laluan ke bandar-bandar utama lain di Malaysia dan kekerapan penerbangan akan ditambah sejajar dengan peningkatan permintaan perjalanan sempena pembukaan semula lebih banyak destinasi percutian dalam masa terdekat, tertakluk kepada kelulusan dari pihak berkuasa," jelasnya dalam kenyataan pada Sabtu.
Penumpang dari Malaysia yang lengkap vaksinasi dan ingin melancong ke Singapura diingatkan supaya memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh Kerajaan Singapura sebelum menempah penerbangan dan semasa ketibaan.
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat berkata, penyambungan semula perjalanan antara Kuala Lumpur dan Singapura menandakan kemajuan besar dalam sektor perjalanan antarabangsa di rantau ini.
"Ini menunjukkan permintaan terpendam yang tinggi terhadap perjalanan antarabangsa, dan AirAsia bersedia untuk menyambut tetamu dengan pelaksanaan protokol perjalanan yang ketat dan selamat di semua penerbangan kami.
"Semua penerbangan kami dikendalikan kakitangan yang sudah divaksin sepenuhnya dan mereka akan terus memberikan perkhidmatan terbaik bertaraf dunia semasa pandemik ini," katanya.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Lembaga Pelancongan Singapura bagi Asia Tenggara, John Gregory Conceicao berkata, skim VTL adalah pencapaian penting dalam penyambungan semula perjalanan antara Singapura dan Malaysia secara beransur-ansur.
"Singapura bersedia untuk mengalu-alukan pelancong Malaysia melalui rakan utama seperti AirAsia," katanya.
HMETRO.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan