20 November 2021

Polis siasat 'posting' kertas undi di media sosial

 Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali bersama Timbalan Ketua Polis Melaka Tengah, Superintendan Raiz Mukhliz Azman Aziz melawat Pusat Mengundi di Telok Mas. - Foto NURALIAWATI SABRI

Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali bersama Timbalan Ketua Polis Melaka Tengah, Superintendan Raiz Mukhliz Azman Aziz melawat Pusat Mengundi di Telok Mas. - Foto NURALIAWATI SABRI

MELAKA: Polis Melaka sedang menyiasat berkaitan satu paparan di laman sosial mengenai tindakan memuat naik kertas undi dipercayai ketika proses pengundian pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, pagi tadi.

Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali, berkata tindakan pihak terbabit dikesan oleh pasukan pemantau media sosial sebelum tindakan susulan diambil.

"Pasukan pemantau media sosial mengesan terdapat satu 'posting' yang mengambil gambar kertas undi dan perkara itu menjadi satu kesalahan.

"Setakat ini, laporan sedang dibuat dan kejadian didakwa di kawasan Bukit Katil, kira-kira jam 9.30 pagi tadi," katanya ketika hadir membuat lawatan di Pusat Mengundi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Telok Mas, hari ini.

Beliau berkata, proses mengundi berjalan lancar tanpa ada sebarang provokasi daripada mana-mana pihak dan perkara itu menunjukkan kematangan semua pihak.

"Calon, parti politik dan pengundi sudah matang. Kita tengok proses yang paling baik, malah koordinasi antara Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memang terbaik.

"Ketiadaan barong panas yang didirikan oleh parti politik menjadikan keadaan lebih aman," katanya.

Mengulas lanjut, Abdul Majid berkata, tindakan pantas pihak polis juga dapat menyekat kumpulan motosikal dan kereta daripada berarak malam tadi.

"Walaupun ada kumpulan motosikal dan kereta yang hendak berarak, tetapi berdasarkan risikan kita dapat menyekatnya dan selepas jam 12 tengah malam keadaan aman," katanya.

BHARIAN.

Tiada ulasan: