Gambar hiasan
PETALING JAYA – Maybank Islamic Berhad menyediakan platform tempahan pakej umrah yang lebih lancar dan mudah melalui laman perbankan dalam talian Maybank2u (M2U) kepada pelanggannya yang merancang untuk menunaikan umrah.
Berkuat kuasa hari ini, pelanggan kad kredit premium Maybank dan Maybank Islamic boleh menyesuaikan urusan perjalanan umrah dengan memilih tarikh perjalanan, penerbangan dan tempat penginapan mengikut pilihan mereka dan tidak terhad kepada pakej tetap agensi pelancongan.
Ketua Pengurusan Kekayaan Patuh Syariah & Pembangunan Perniagaan Maybank Islamic, Ahmad Shareza Abdul Rahman berkata, tawaran pakej premium yang unik ini diwujudkan melalui kerjasama Maybank Islamic dengan agensi pelancongan Rayhar Travels Sdn. Bhd. (Rayhar).
Rayhar adalah syarikat pengendali haji dan umrah dengan jumlah jemaah persendirian tertinggi serta terkenal di Malaysia.
“Mengambil kira gaya hidup normal dengan norma baharu akibat daripada penularan pandemik Covid-19, kami mengambil pendekatan menyediakan penyelesaian digital ini kepada pemegang kad kredit premium Maybank dan Maybank Islamic untuk memudahkan mereka mendaftarkan perjalanan umrah dengan lebih mudah dan cepat serta boleh diakses di mana sahaja mengikut keselesaan mereka,” katanya dalam kenyataan.
Ahmad Shareza menjelaskan, proses penempahan pakej umrah di M2U akan dipautkan terus ke platform dalam talian Rayhar Travels yang telah direka khusus untuk pelanggan Bank tersebut.
“Melalui platform dalam talian Rayhar, pelanggan boleh menyesuaikan keperluan pakej umrah mengikut keutamaan bakal jemaah selain boleh menebus Treats Points Maybank untuk membiayai sebahagian atau sepenuhnya kos perjalanan umrah mereka.
“Dengan keistimewaaan eksklusif ini, kami berharap tawaran pakej premium kami bersama Rayhar Travels ini akan memenuhi keperluan pelanggan yang mungkin lebih mementingkan fleksibiliti dan pengalaman umrah mengikut pilihan masing-masing,” katanya.
Kosmo.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan