KUALA LUMPUR: Pelancong dari luar Sabah yang sudah lengkap divaksinasi tidak perlu menjalani ujian saringan Covid-19 bermula 1 Dis, kata Ketua Menteri Hajiji Noor.
Beliau berkata keputusan itu juga dibuat selepas Sabah memasuki Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara pada 8 Nov lalu.
“Kerana kita sudah masuk ke fasa seterusnya jadi kerajaan Sabah sudah putuskan mana-mana pelancong atau dari Semenanjung atau dari mana- mana yang datang ke Sabah bermula 1 Dis tidak perlu jalani ujian Covid-19 tetapi perlu vaksinasi lengkap,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Pameran Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Ke-49 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) KL.
Sebelum ini, kerajaan Sabah menghapuskan syarat kuarantin wajib bagi individu lengkap divaksinasi yang masuk ke Sabah kecuali ketibaan dari luar negara.
Bagaimanapun, setiap individu yang ingin masuk ke Sabah perlu mendapatkan kebenaran polis untuk rentas negeri serta membuat ujian saringan Covid-19 sebelum perjalanan.
Sempena penganjuran MATTA pada tahun ini, Sabah dipilih sebagai “destinasi pilihan Malaysia” untuk kali ketiga selepas 2015 dan 2019.
Mengulas lanjut, Hajiji berkata dengan pengiktirafan itu diharapkan mampu memulihkan kembali industri pelancongan negeri itu yang terkesan teruk akibat Covid-19.
“Kita harap seramai mungkin pelancong kerana Sabah menawarkan tempat pelancongan istimewa yang begitu membanggakan negara termasuk budaya, etnik dan kaum yang ada di Sabah.
“Kita sudah sedia terima pelancong, janji semua patuh SOP dan kita yakin sektor pelancongan akan pulih sepenuhnya,” katanya.
FMT.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan