20 November 2021

Waspada penipuan segerakan giliran haji

 

Idris Ahmad.

IPOH – Orang ramai terutamanya pendeposit Tabung Haji (TH) dinasihatkan supaya tidak terpedaya dengan sebarang tawaran bertujuan untuk menyegerakan giliran haji.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad berkata, giliran menunaikan haji adalah berdasarkan sistem pendaftaran yang telah dilaksanakan sejak awal penubuhan institusi kewangan itu.

“Apa yang penting, sebarang pengumuman rasmi adalah dari pihak Tabung Haji terutama Ketua Pegawai Eksekutifnya dan saya sendiri.

“Sebab itu saya pesan, jika ada orang hantar benda macam itu (tawaran penipuan), kalau kita boleh kesan nombornya, laporkan kepada polis untuk ditangkap.

“Perkara ini tidak sepatutnya berlaku. Orang mahu tunaikan haji tetapi ada pula pihak ambil kesempatan. Saya harap bakal jemaah haji dan pendeposit tidak percaya,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Serahan Program TH Prihatin 2021 Negeri Perak di Dewan Utama, Pejabat TH Perak di sini hari ini. – K! ONLINE

Tiada ulasan: