EKORAN pandemik Covid-19, ramai lebih selesa meluangkan masa di rumah biarpun sebilangan orang teruja untuk pergi bercuti selepas kerajaan membenarkan pergerakan merentas negeri.
Ini berikutan penularan wabak tersebut belum reda dengan kes harian yang masih mencecah ribuan.
Sehubungan itu, permintaan untuk menghias bilik tidur gaya hotel mewah didapati semakin meningkat terutama bagi mereka yang mengambil keputusan untuk kekal di rumah agar terhindar jangkitan Covid-19.
Menurut pemilik syarikat rekaan dalaman Arif Latif Deco Design, Muhammad Arif Abd. Latif, untuk mencipta gaya hotel mewah di ruang bilik perlu ada tiga elemen utama iaitu selesa, nampak mewah serta praktikal.
“Pemilik boleh memilih apa jua konsep untuk diterapkan ke dalam bilik tersebut, tetapi tiga elemen itu perlu diberi keutamaan bagi merealisasikan rupa ruang tidur impian.
“Harus diingat, untuk memiliki ruang tidur bertema hotel mewah bermakna pemilik perlu bersedia mengeluarkan perbelanjaan sebanyak RM15,000 dan ke atas,” katanya yang berpengalaman selama lima tahun dalam bidang rekaan dalaman.
Muhammad Arif berkata, keselesaan sangat penting untuk menghasilkan ruang tidur berkonsep hotel mewah itu terutama penggunaan tilam tebal iaitu 25.4 sentimeter ke atas agar penghuni tidur dengan nyaman seolah-olah berada di hotel.
Pemilik perlu mencuba tilam tersebut terlebih dahulu sebelum membeli bagi memastikan ia benar-benar selesa selain bersedia membelanjakan sekitar RM1,500 ke atas bagi mendapatkan item itu sahaja.
“Selain tilam yang empuk dan selesa, pencahayaan juga sangat penting bagi membangkitkan mood hotel dengan lampu malap agar anda berasa relaks serta nyaman.
“Pun begitu, pemilik juga perlu menyediakan lampu-lampu yang lebih terang sekiranya ingin menukar mood bekerja dan sebagainya,” jelas pemegang Ijazah Sarjana Muda Reka Bentuk Dalaman, Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor itu.
Bagi menaikkan lagi elemen mewah, pemilik kediaman perlu menggunakan karpet tebal di dalam bilik supaya berasa sangat sejuk apabila kaki memijaknya.
Karpet, tilam dan langsir yang tebal berfungsi untuk menyerap bunyi supaya anda dapat menikmati suasana sunyi tanpa gangguan.
Gunakan langsir blackout iaitu jenis langsir digunakan di hotel-hotel agar cahaya tidak boleh menembusi bilik tersebut, sekali gus membangkitkan suasana seolah-olah berada di dalam hotel.
Dalam pada itu, bagi memperlihatkan ruang tersebut seperti hotel mewah, perlu menggunakan elemen dekorasi yang bersinar dan berkilau.
“Item-item dekorasi juga perlu bersaiz besar dan tebal supaya kelihatan mewah serta eksklusif.
“Ini kerana biasanya dinding hotel[1]hotel mewah dipenuhi dengan pelbagai dekorasi, kertas dinding dan hiasan yang lebih terperinci,” tutur anak kelahiran Kuala Lumpur itu.
Di samping item-item itu, jangan dilupakan pemasangan pendingin hawa kerana ia merupakan perkara yang sangat penting untuk bilik tidur gaya hotel mewah supaya pemilik mendapat keselesaan maksimum.
Akhir sekali, walaupun kita mahukan bilik tidur gaya hotel, tetapi ia perlulah praktikal kerana harus diingat ruang tidur itu di dalam rumah, bukannya hotel yang dijadikan tempat persinggahan sementara.
Sebagai contoh, perlu untuk pemilik memasang kabinet yang lebih besar untuk menyimpan barang.
Jika di hotel, kebanyakannya bersaiz kecil kerana hanya kegunaan sementara pelanggan yang menginap di situ. Pemilik juga boleh memasang keperluan-keperluan lain seperti meja kerja, almari solek dan sebagainya.
KOSMO.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan