Masjid Tanah: Sanggup mengeluarkan wang untuk menyewa ambulans demi menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.
Itu pengorbanan Abdul Rahim Yaacob, 57, yang membelanjakan RM200 untuk menyewa sebuah ambulans swasta bagi membawanya mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Dewan Undangan Negeri (Dun) Lendu.
Beliau yang mengundi di Sekolah Kebangsaan Durian Daun (K), di sini, menarik perhatian umum selepas tiba menggunakan ambulans.
Abdul Rahim berkata, dia sanggup berbuat demikian demi tanggungjawab sebagai rakyat dalam menentukan pembentukan kerajaan negeri.
Dia tiba di pusat pengundian 8.20 pagi, sebelum dibantu anggota polis dan petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang membawanya ke saluran pengundian.
"Saya menghidap angin ahmar dan tidak boleh memandu sendiri ke pusat pengundian.
"Jadi saya gunakan khidmat ambulans swasta dengan bayaran RM200 untuk dibawa ke pusat pengundian," katanya ketika ditemui.
Dalam pada itu, warga emas, Maimon Hassan, 78, menjadi pengundi pertama apabila selesai menunaikan tanggungjawab pada 8.15 pagi tadi.
"Walaupun berkerusi roda, saya tetap bersemangat hadir awal untuk menunaikan tanggungjawab," katanya.
HMETRO.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan