ADIL ialah salah satu daripada sifat wajib bagi Allah SWT dan sifat ketuhanan yang Maha Suci daripada segala kekurangan, bahkan mustahil bagi Allah SWT bersifat zalim. Malah, keadilan-Nya tiada bandingan dan tandingan. Maha Adil ialah salah satu daripada nama-nama terbaik bagi Allah SWT.
Firman Allah SWT:
شَهِدَ اللَّهُ أَنَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ وَالْمَلَائِكَةُ وَأُولُو الْعِلْمِ قَائِمًا بِالْقِسْطِ لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ١٨
“Allah menyatakan bahawasanya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Tuhan yang sentiasa menegakkan keadilan, dan para malaikat dan orang-orang yang berilmu (juga menyatakan perkara yang demikian); tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; Tuhan yang Maha Perkasa, lagi Maha Bijaksana.” (Surah Ali ‘Imran: 18)
Sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadis qudsi bahawa Allah SWT berfirman:
يَا عِبَادِي إِنِّي حَرَّمْتُ الظُّلْمَ عَلَى نَفْسِي، وَجَعَلْتُهُ بَيْنَكُمْ مُحَرَّمًا، فَلَا تَظَالَمُوا.
“Wahai hamba-hamba-Ku! Sesungguhnya Aku telah mengharamkan sifat zalim ke atas diri-Ku dan Aku jadikannya (kezaliman) haram antara kalian, maka janganlah kalian berlaku zalim sesama kalian.” (Riwayat Muslim 2577)
Maka, Islam yang terkandung di dalam al-Quran dan cara pelaksanaannya yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW merupakan petunjuk yang sebenar kepada makna dan objektif keadilan. Konsep yang berbeza dengan pendapat ahli-ahli falsafah Barat dalam kalangan pencipta sekularisme yang memisahkan agama daripada cara dan sistem kehidupan manusia yang memenuhi fitrah dan ada matlamat kejadiannya.
Al-Quran menegaskan betapa kedudukan adil itu yang tinggi, sehingga berada di langit merangkumi seluruh kejadian alam semesta. Hal ini sebagaiman firman Allah SWT:
وَالسَّمَاءَ رَفَعَهَا وَوَضَعَ الْمِيزَانَ٧ أَلَّا تَطْغَوْا فِي الْمِيزَانِ٨ وَأَقِيمُوا الْوَزْنَ بِالْقِسْطِ وَلَا تُخْسِرُوا الْمِيزَانَ٩
“Dan Allah telah menjadikan langit yang tinggi, serta Dia mengadakan neraca keadilan (undang-undang). (7); Supaya kalian tidak melampaui batas dalam menjalankan keadilan. (8); Dan betulkanlah timbangan itu dengan adil, dan janganlah kalian mengurangi neraca timbangan. (9).” (Surah al-Rahman: 7-9)
Adil yang diwajibkan itu adalah berkonsepkan Samawi (perintah Allah) yang melengkapi segala hubungan manusia dengan kehidupannya dan mengatasi undang-undang ciptaan manusia itu sendiri. Firman Allah SWT:
إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ٩٠
“Sesungguhnya Allah menyuruh kalian berlaku adil, dan berbuat kebajikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Dia mengajar kalian (dengan suruhan dan larangan-Nya ini), supaya kalian mengambil peringatan dengan mematuhi-Nya.” (Surah al-Nahl: 90)
Ayat di atas menegaskan tentang kewajipan berlaku adil kepada seluruh manusia yang bermasyarakat majmuk tanpa mengira perbezaan taraf hidup, agama dan bangsa. Perkara tersebut dibebankan menjadi amanah yang wajib dipikul, sebagaimana firman Allah SWT:
إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَى أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُمْ بَيْنَ النَّاسِ أَنْ تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ إِنَّ اللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُمْ بِهِ إِنَّ اللَّهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرًا٥٨
“Sesungguhnya Allah menyuruh kalian supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kalian menetapkan hukum antara manusia, (Allah menyuruh) kalian menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kalian. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.” (Surah al-Nisa’: 58)
Tugas menegakkan keadilan diserahkan kepada orang-orang yang benar-benar berkelayakan dari segi iman, ilmu dan akhlaknya. Hal ini demikian kerana, ia merupakan amanah yang paling besar kewajipannya.
Firman Allah SWT:
إِنَّا عَرَضْنَا الْأَمَانَةَ عَلَى السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَالْجِبَالِ فَأَبَيْنَ أَنْ يَحْمِلْنَهَا وَأَشْفَقْنَ مِنْهَا وَحَمَلَهَا الْإِنْسَانُ إِنَّهُ كَانَ ظَلُومًا جَهُولًا٧٢
“Sesungguhnya Kami telah mengemukakan amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka semuanya enggan memikul amanah itu dan khuatir akan mengkhianatinya; dan (pada ketika itu) manusia sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan perkara-perkara yang bodoh.” (Surah al-Ahzab: 72)
Amanah yang paling besar ialah amanah bagi mengendalikan urusan memerintah dan mentadbir negara berserta segala urusannya. Maka, menyerahkan tugas kepada orang yang tidak mempunyai kelayakan untuk menegakkan keadilan adalah sebab berlakunya kemusnahan alam dunia keseluruhannya. Hal ini sebagaimana sabda Rasulullah SAW:
إِذَا وُسِّدَ الأَمْرُ إِلَى غَيْرِ أَهْلِهِ فَانْتَظِرِ السَّاعَةَ.
“Apabila dilantik bagi melaksanakan urusan (umat) kepada orang yang tidak layak, maka tunggulah saat berlakunya kemusnahan alam (kiamat).” (Riwayat al-Bukhari 59)
Adil itu digerakkan oleh keimanan, sehingga sanggup menghukum diri sendiri dan keluarga yang terdekat. Sebagaimana firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ بِالْقِسْطِ شُهَدَاءَ لِلَّهِ وَلَوْ عَلَى أَنْفُسِكُمْ أَوِ الْوَالِدَيْنِ وَالْأَقْرَبِينَ إِنْ يَكُنْ غَنِيًّا أَوْ فَقِيرًا فَاللَّهُ أَوْلَى بِهِمَا فَلَا تَتَّبِعُوا الْهَوَى أَنْ تَعْدِلُوا وَإِنْ تَلْوُوا أَوْ تُعْرِضُوا فَإِنَّ اللَّهَ كَانَ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرًا١٣٥
“Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kalian menjadi orang-orang yang benar-benar menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kalian sendiri, ataupun ibu bapa dan kaum kerabat kalian. Jika orang (yang didakwa) itu kaya atau miskin, maka Allah lebih mengetahui kemaslahatan kedua-duanya. Oleh itu, janganlah kalian mengikuti hawa nafsu supaya kalian tidak menyeleweng daripada kebenaran. Dan jika kalian memutarbelitkan keterangan (kata-kata) ataupun enggan menjadi saksi, maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kalian lakukan.” (Surah al-Nisa’: 135)
Rasulullah SAW sangat murka apabila Baginda diminta supaya tidak menjatuhkan hukuman ke atas seorang bangsawan yang telah melakukan kesalahan jenayah mencuri. Lantas Baginda SAW bersabda:
إِنَّمَا أَهْلَكَ الَّذِينَ قَبْلَكُمْ، أَنَّهُمْ كَانُوا إِذَا سَرَقَ فِيهِمُ الشَّرِيفُ تَرَكُوهُ، وَإِذَا سَرَقَ فِيهِمُ الضَّعِيفُ أَقَامُوا عَلَيْهِ الحَدَّ، وَايْمُ اللَّهِ لَوْ أَنَّ فَاطِمَةَ بِنْتَ مُحَمَّدٍ سَرَقَتْ لَقَطَعْتُ يَدَهَا.
“Sesungguhnya telah binasa umat pada zaman dahulu sebelum kalian, kerana sesungguhnya apabila bangsawan dalam kalangan mereka mencuri lalu dibebaskan; tetapi apabila golongan yang lemah dalam kalangan mereka pula yang mencuri, mereka menjatuhkan hukuman kesalahan jenayah. Demi Allah! Sekiranya Fatimah binti Muhammad (puteriku) mencuri, nescaya aku jatuhkan hukuman agar dipotong tangannya.” (Riwayat al-Bukhari 3475)
Bahkan, diwajibkan juga berlaku adil sekalipun terhadap musuh yang paling dibenci, kerana Allah SWT menyebutkan melalui firman-Nya:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ لِلَّهِ شُهَدَاءَ بِالْقِسْطِ وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَى أَلَّا تَعْدِلُوا اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَى وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ٨
“Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kalian semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan kebenaran kerana Allah, lagi menerangkan keadilan; dan janganlah sekali-kali kebencian kalian terhadap sesuatu kaum itu mendorong kalian untuk tidak berlaku adil. Hendaklah kalian berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan apa yang kalian lakukan.” (Surah al-Ma’idah: 8)
Dan firman Allah SWT:
لَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ أَنْ تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ٨
“Allah tidak melarang kalian daripada berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tidak memerangi kalian kerana agama (kalian), dan tidak mengeluarkan kalian dari kampung halaman kalian; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.” (Surah al-Mumtahanah: 8)
Selain itu, keadilan perlu ditegakkan dengan bersedia untuk menjatuhkan hukuman tegas ke atas kumpulan Islam yang melampau. Hal ini sebagaimana firman Allah SWT:
وَإِنْ طَائِفَتَانِ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ اقْتَتَلُوا فَأَصْلِحُوا بَيْنَهُمَا فَإِنْ بَغَتْ إِحْدَاهُمَا عَلَى الْأُخْرَى فَقَاتِلُوا الَّتِي تَبْغِي حَتَّى تَفِيءَ إِلَى أَمْرِ اللَّهِ فَإِنْ فَاءَتْ فَأَصْلِحُوا بَيْنَهُمَا بِالْعَدْلِ وَأَقْسِطُوا إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ٩
“Dan jika ada dua puak daripada kalangan mereka yang beriman itu berperang, maka hendaklah kalian mendamaikan antara keduanya. Jika salah satunya melampau terhadap yang lain, hendaklah kalian perangi kalangan yang melampau itu (setelah dinasihati) sehingga dia kembali mematuhi perintah Allah; jika dia telah kembali maka damaikanlah antara keduanya dengan adil, dan hendaklah kalian berlaku adil; sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang berlaku adil.” (Surah al-Hujurat: 9)
Dalam pada itu, Islam juga menganjurkan konsep perdamaian, sebagaimana firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنْكُمْ فَإِنْ تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِنْ كُنْتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ذَلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا٥٩
“Wahai orang-orang yang beriman! Taatilah kalian kepada Allah dan taatilah kalian kepada Rasul-Nya, dan juga kepada Ulil Amri antara kalian. Kemudian, jika kalian berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (Sunnah), jika kalian benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Kemudian. Hal yang demikian itu lebih utama (bagi kalian) dan lebih baik akibatnya.” (Surah al-Nisa’: 59)
Orang yang beriman juga dilarang melampau dalam peperangan terhadap musuh yang menceroboh, hal ini disebabkan firman Allah SWT:
…فَمَنِ اعْتَدَى عَلَيْكُمْ فَاعْتَدُوا عَلَيْهِ بِمِثْلِ مَا اعْتَدَى عَلَيْكُمْ وَاتَّقُوا اللَّهَ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ مَعَ الْمُتَّقِينَ١٩٤
“…Oleh itu, sesiapa yang melakukan pencerobohan terhadap kalian, maka balaslah pencerobohan itu seimbang dengan pencerobohan yang dilakukannya terhadap kalian; dan bertaqwalah kalian kepada Allah dan ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang bertaqwa.” (Surah al-Baqarah: 194)
Dan juga firman Allah SWT:
وَإِنْ عَاقَبْتُمْ فَعَاقِبُوا بِمِثْلِ مَا عُوقِبْتُمْ بِهِ وَلَئِنْ صَبَرْتُمْ لَهُوَ خَيْرٌ لِلصَّابِرِينَ١٢٦ وَاصْبِرْ وَمَا صَبْرُكَ إِلَّا بِاللَّهِ وَلَا تَحْزَنْ عَلَيْهِمْ وَلَا تَكُ فِي ضَيْقٍ مِمَّا يَمْكُرُونَ١٢٧ إِنَّ اللَّهَ مَعَ الَّذِينَ اتَّقَوْا وَالَّذِينَ هُمْ مُحْسِنُونَ١٢٨
“Dan jika kalian membalas kejahatan (pihak lawan), maka hendaklah kalian membalas dengan kejahatan yang sama sepertimana yang telah ditimpakan ke atas kalian, dan jika kalian bersabar, (maka) sesungguhnya yang demikian itu adalah lebih baik bagi orang-orang yang sabar. (126); Dan bersabarlah (wahai Muhammad); dan tiadalah berhasil kesabaranmu melainkan dengan (memohon pertolongan) Allah; dan janganlah kamu berdukacita terhadap kedegilan mereka, dan janganlah kamu bersempit dada disebabkan tipu daya yang mereka lakukan. (127); Sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang bertaqwa, dan orang-orang yang berbuat kebaikan. (128).” (Surah al-Nahl: 126-128)
Ayat di atas menunjukkan wajib berlaku adil walaupun saat peperangan berlaku, pada ketika kemarahannya yang paling tinggi terhadap musuh yang menceroboh.
Sekiranya berlaku tindakan melampau terhadap musuh, maka individu tersebut wajib dihukum dengan membayar ganti rugi kepada musuh yang dizalimi.
Perkara ini ditunjukkan sendiri oleh Rasulullah SAW sewaktu Baginda mengarahkan ‘Ali bin Abi Talib RA untuk membayar pampasan kepada kabilah Bani Juzaimah, disebabkan Panglima Khalid bin al-Walid RA telah bertindak melampau terhadap kabilah tersebut. Bukan sahaja dibayar kepada manusia yang akibat salah laku itu, malah digantikan semula bekas makanan anjing yang telah dirosakkan.
Inilah rahsianya apabila kedatangan Islam ke negara-negara lain dianggap sebagai penyelamat bukannya penjajah. Keadilannya merupakan hujah akan kebenarannya yang lebih berkesan daripada kata-kata dan tulisan. Oleh itu, Islam dilihat kehebatannya kerana keadilannya, bukan kerana takutkan kuasanya ataupun paksaan dan kezalimannya.
Yakinlah bahawa fitnah yang mencipta Islamofobia ialah satu pembohongan dan ia pasti akan kecundang pada akhirnya.
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 28 Rabi‘ul Akhir 1443 / 3 Disember 2021 – HARAKAHDAILY 3/12/2021
Tiada ulasan:
Catat Ulasan