03 Disember 2021

Kerja pembersihan tanah runtuh ambil masa seminggu

 

KERJA pembersihan runtuhan tanah di Jalan Simpang Pulai-Blue Valley sedang dijalankan hari ini. - UTUSAN ONLINE

IPOH: Lokasi runtuhan tanah di Seksyen 27, Laluan FT 185, Jalan Simpang Pulai-Blue Valley di sini, tidak berada dalam kategori kawasan berisiko untuk berlaku tragedi seumpama itu.

Timbalan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak, Ir. Hamdan Ali berkata, berdasarkan rekod pihaknya, hanya terdapat tiga lokasi berisiko untuk kejadian tanah runtuh di sepanjang laluan berkenaan iaitu antara Seksyen 38 hingga 46.

Katanya, runtuhan tanah di lokasi yang mengorbankan dua nyawa semalam, adalah pertama kali berlaku.

“Kita ada Pusat Pemantauan Cerun di Seksyen 44 di mana kita memantau cerun di tiga lokasi yang mana setakat ini dilaporkan stabil.

“Kejadian di Seksyen 27 ini tidak dijangka tetapi disebabkan kadar hujan yang tinggi dan berterusan telah menyebabkan tanah runtuh,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian di sini hari ini.

Menurut Hamdan, kejadian tanah runtuh itu berpunca akibat hujan berterusan di mana taburan hujan sebanyak 217 milimeter direkodkan selama dua minggu.

Katanya, keadaan itu menyebabkan kelemahan pada tebing jalan hingga mengakibatkan runtuhan.

“Kejadian ini membabitkan runtuhan besar iaitu melebihi 10,000 meter kiub tanah. Oleh kerana volume tanah yang tinggi, maka kerja-kerja pembersihan akan mengambil masa seminggu.

“Sebagai langkah keselamatan, pengurusan trafik di tapak tanah runtuh akan dijalankan sebagai makluman kepada pengguna jalan raya apabila laluan dibuka nanti,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, pihaknya akan membuat pemantauan lanjut bersama pakar berhubung kestabilan cerun di kawasan itu dari semasa ke semasa.

Jelasnya, berdasarkan penilaian awal, keadaan cerun di kawasan sekitar runtuhan sebahagiannya stabil manakala sebahagiannya masih tidak selamat.

“Kita belum dapat kenal pasti lagi mana-mana kawasan yang aktif (risiko runtuhan) kerana masih dalam peringkat awal penilaian. Cumanya keadaan di sini adalah selamat untuk kita jalankan kerja-kerja pembersihan,” katanya.

Dalam kejadian sekitar pukul 1.30 petang semalam, sebuah lori dan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard ditimbus runtuhan tanah di mana kedua-dua pemandu terperangkap.

Mangsa, Muhammad Hafiz Hamdi, 31, yang memandu lori sayur-sayuran dan pemandu Toyota Alphard, Tan Chee Heng, 36, maut di tempat kejadian. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: