KUALA LUMPUR: Pengembara yang membuat saringan di Langkawi pada hari ketibaan di pulau itu melalui Gelembung Perjalanan Antarabangsa Langkawi, dibenarkan tinggal di hotel sementara menunggu keputusan ujian bagi mengelakkan perhimpunan ramai di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata mereka juga akan menerima perintah pengawasan dan pemerhatian (HSO) secara digital dalam aplikasi MySejahtera.
"Pengembara yang dibenarkan menyertai Gelembung Pelancongan Antarabangsa Langkawi perlu menjalani ujian pengesanan COVID-19 menggunakan RT- PCR sekurang-kurangnya 72 jam sebelum bertolak ke Malaysia dan pada hari ketibaan.
"Selain itu, mereka juga perlu menjalani ujian pengesanan COVID-19 menggunakan RTK-Antigen (RTK-Ag) Profesional pada hari ketiga dan kelima selepas ketibaan," katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengumumkan pengembara selain dari lapan negara yang dikenakan sekatan perjalanan sementara dibenarkan menyertai Gelembung Pelancongan Antarabangsa Langkawi.
Setakat ini, lapan negara yang dikenakan sekatan perjalanan sementara ialah Malawi, Afrika Selatan, Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia dan Zimbabwe.
Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, pengembara dari selain lapan negara yang dikenakan sekatan perjalanan sementara adalah dibenarkan memasuki Malaysia untuk melancong ke negeri lain selain di Langkawi namun perlu mematuhi lima syarat ditetapkan.
Mereka perlu menjalani kuarantin wajib dengan tempoh kuarantin tujuh hari bagi individu dengan vaksin lengkap dan 10 hari sekiranya tidak menerima vaksin lengkap atau tidak menerima vaksin.
"Tempat kuarantin mengikut kelulusan yang diberikan oleh portal Home Quarantine Application (HQA), sama ada di rumah, tempat kediaman atau stesen kuarantin.
"Pengembara yang tidak diluluskan untuk menjalani kuarantin di rumah atau tempat kediaman perlu membuat tempahan bilik di hotel yang dikenal pasti sebagai stesen kuarantin melalui MyTravelSafe di pautan https://safetravel.myeg.com.my/," katanya.
Mereka yang datang dari negara berisiko tinggi dan menjalani kuarantin di rumah atau tempat kediaman akan dipakaikan peranti pengesan digital.
Negara berisiko tinggi ini akan dimaklumkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berdasarkan penilaian risiko yang dijalankan dari semasa ke semasa dan senarai akan diberikan kepada Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) berkaitan untuk tindakan lanjut.
"Selain itu, mereka perlu menjalani ujian pengesanan COVID-19 menggunakan RT-PCR semasa ketibaan dan pada hari kelima sekiranya kuarantin selama tujuh hari atau pada hari kelapan sekiranya kuarantin selama 10 hari.
"Penilaian risiko akan dilakukan ke atas pengembara pada hari ketujuh atau hari ke-10 sebelum pelepasan kuarantin," katanya.
Dengan pengisytiharan ini, maka kenyataan yang diumumkan sebelum ini adalah terbatal dengan KKM akan terus memaklumkan situasi terkini dan polisi semasa mengenai perkara ini dari semasa ke semasa.
BHARIAN.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan