HO CHI MINH: Polis Vietnam menumpaskan sindiket matawang kripto paling besar bernilai sekitar AS$3.8 bilion (RM16.1 bilion), lapor media tempatan hari ini.
Dalam operasi pihak berkuasa bagi membanteras perjudian haram yang berleluasa di negara itu, 59 orang ditahan dekat hab perniagaan selatan di bandar Ho Chi Minh, atas dakwaan merekrut orang untuk membuat pertaruhan melalui media sosial.
Menurut akhbar rasmi polis bandar berkenaan, sindiket perjudian itu dilaporkan sebagai yang terbesar pernah dibongkar oleh polis Vietnam.
Media tempatan melaporkan mereka yang terbabit diarah membeli dompet matawang kripto sebelum membuat pertaruhan.
Mereka kemudian diminta menukar wang kepada satu daripada dua matawang digital, Ethereum atau USDT, juga dikenali sebagai Tether, sebelum bertaruh secara dalam talian menerusi Swiftonline.live atau Nagaclubs.com.
Untuk menarik minat pemain baharu, dalang sindiket menyiarkan gambar kereta, rumah dan pesta mewah menerusi rangkaian media sosial.
Bagi meyakinkan pemain baharu, dalang perjudian itu turut menawarkan pakej insurans dengan janji akan membayar balik wang sekiranya mereka tidak menang selepas enam permainan.
Sewaktu ramai pemain leka bertaruh, ketua sindiket itu bertindak meranapkan sistem laman sesawang untuk mencuri wang daripada dompet digital dan mengelak dikesan polis.
Anggota polis bertindak menyita 55 komputer riba dan komputer, 39 telefon bimbit dan tujuh kereta mewah milik kumpulan itu di bandar Ho Chi Minh.
Memetik laporan media tempatan, kumpulan sama juga mempunyai rangkaian perjudian berskala besar di banyak wilayah lain serta bandar di seluruh negara itu.
Kerajaan komunis Vietnam mula melonggarkan peraturan bagi kegiatan perjudian tempatan dengan membenarkan rakyat negara itu berjudi di kasino dan membuka beberapa premis perjudian.
Bagaimanapun, negara itu cuma mengharamkan judi dalam talian dan judi kad persendirian.
Walaupun tindakan keras kerap diambil bagi membanteras perjudian haram, sindiket didalangi warga tempatan mahupun asing terus berkembang.
Tahun lalu, polis menumpaskan sindiket judi kad berskala besar yang bernilai AS$2.6 bilion (RM11 bilion). - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan