03 Disember 2021

Misi ke Sarawak pamer Islam dalam masyarakat majmuk

 

KANGAR: Penyertaan PAS dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak bukan sekadar sebagai sebuah parti politik, sebaliknya berusaha melebarkan gerak kerja dakwah, tarbiah dan siasah.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin berkata, misi utama ke Sarawak untuk mempamerkan Islam dalam masyarakat pelbagai kaum di negeri itu.


Kata beliau PAS sedar peluang untuk menang pada PRN terbabit begitu tipis, namun sekurang-kurangnya memberi peluang untuk lebih mendekati rakyat di Sarawak.

“Sebelum ini, PAS juga pernah kalah di Sarawak, dan perkara itu tidak pernah mengecewakan kita.

“Ini kerana kita tahu harapan untuk menang bukan suatu perkara yang mudah, sebaliknya kita lebih memfokus untuk mencari ruang mendekati rakyat di sana.

“Sungguhpun penerimaan rakyat Sarawak terhadap PAS agak kurang berbanding di Semenanjung, namun kita mengambil peluang ini untuk memperluaskan pengaruh PAS di sana,” katanya ketika dihubungi di sini.

Semalam Harakahdaily melaporkan PAS memutuskan untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak pada 18 Disember ini menggunakan logo sendiri.

Bagaimanapun menurut Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, jumlah kerusi yang dipertandingkan belum diputuskan.

Tuan Guru Hashim berkata, jumlah kerusi yang bakal ditandingi PAS akan dimuktamadkan pada mesyuarat Ahli Jawatan Kuasa PAS Pusat.

Manakala pada perkembangan lain katanya PAS tetap istiqamah terus memperkukuhkan Muafakat Nasional (MN) dan dalam masa sama tetap mempertahan Perikatan Nasional (PN).

“Kita tidak akan berhenti memujuk dan berunding dengan Umno dan berharap mereka akan berlapang dada bukan kerana PAS tetapi kerana arahan daripada Allah SWT supaya umat Islam bersatu padu.

“Bagi menuju ke arah itu, kita perlu sentiasa bertemu serta berbincang dan saling memperingati perkara yang mempunyai persamaan antara ketiga-tiga parti ini (PAS, Bersatu dan Umno),” katanya. – HARAKAHDAILY 3/12/2021

Tiada ulasan: