NEW YORK: Grab Holdings Ltd, syarikat seru pandu dan penghantaran terbesar di Asia Tenggara jatuh mendadak pada hari pertama dagangannya di Nasdaq selepas bergabung dengan Altimeter Growth Corp, urus niaga pengambilalihan tujuan khas (SPAC) terbesar setakat ini.
Saham syarikat itu susut 21 peratus kepada AS$8.67 pada jam 1.30 petang Khamis di sini.
Pandemik COVID-19 menjejaskan teruk perniagaan seru pandu, dengan varian Omicron menyebabkan sekatan baharu terhadap perjalanan.
Saham Uber Technologies Inc susut lebih daripada 10 peratus sejak Afrika Selatan mengumumkan penemuan varian baharu itu.
Singapura yang menjadi pangkalan Grab melarang kemasukan tujuh negara Afrika minggu lalu dan kerajaannya mengumumkan ia mengesan dua kes import Omicron.
Grab masih lagi tidak dapat membuktikan ia boleh mencatat keuntungan, terutama dengan lonjakan semula COVID-19.
September lalu, syarikat itu menurunkan unjuran pendapatannya bagi 2021 apabila Asia Tenggara bergelut dengan varian delta.
Pada November, syarikat itu berkata kerugian bersihnya melebar kepada AS$988 juta (RM4.18 bilion) bagi suku ketiga, manakala pendapatan susut sembilan peratus kepada AS$157 juta (RM664.1 juta)
"Kami yakin dengan perniagaan ini," kata Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Anthony Tan dalam satu temubual.
"Perniagaan berjalan lancar dari segi mencapai sasaran nilai dagangan kasar (GMV) tahun ini sebanyak AS$15 bilion (RM63 bilion) ke AS$15.5 bilion (RM65 bilion)."
Tan dan CEO Altimeter Capital Management, Brad Gerstner mengumumkan penggabungan pada April lalu dan mereka perlu melalui tahun yang mencabar bagi SPAC dan pasaran global.
Mereka menangguh untuk memuktamadkan urus niaga ketika Grab menyemak semula penyata kewangannya, namun pelabur akhirnya mengundi setuju minggu ini, sekali membolehkan entiti digabungkan itu membuat kemunculan sulung di pasaran.
Grab, yang diasskan oleh Tan dan Hooi Ling Tan dianggap sebagai salah satu syarikat pemula paling berpotensi di Asia Tenggara dan calon utama bagi penyenaraian awam.
Model perniagaannya sama dengan Uber, perintis seru pandu dan penghantaran Amerika Syarikat (AS) yang menjual operasinya di Asia Tenggara kepada Grab pada 2018.
Sama seperti Uber, Grab turut disokong oleh SoftBank Group Corp milik Masayoshi Son.
Tan, yang moyangnya adalah seorang pemandu teksi, mendapat inspirasi untuk memulakan Grab ketika menghabiskan pengajian MBA di Harvard Business School lebih sedekad lalu.
Beliau tidak menyertai perniagaan keluarganya, yang juga salah satu pengedar kereta terbesar di Malaysia, sebaliknya memulakan perkhidmatan seru teksi yang ketika itu dikenali sebagai MyTeksi bersama rakan sekelasnya di Harvard, Ling Tan.
-Bloomberg
Tiada ulasan:
Catat Ulasan