03 Disember 2021

Perkenalkan kedai runcit ala KR1M

 

Oleh SALMAH MAT HUSAIN

KOTA BHARU: Ahli Parlimen Belia Malaysia, Muhammad Afiqq Noh, mencadangkan kerajaan memperkenalkan kedai runcit berkonsepkan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) bagi menangani isu kenaikan harga barangan.


Katanya, membuka kedai demikian bertujuan membantu rakyat, terutama golongan berpendapatan rendah yang tertekan akibat harga barangan keperluan harian yang tinggi.

“Saya melihat konsep kebajikan untuk membantu rakyat melalui pengenalan KR1M berjaya dan mendapat sambutan meriah rakyat sebelum ini.

“Pada pandangan saya, jika sesuatu perkara itu baik dan memberi manfaat kepada rakyat, maka perkara itu boleh diteruskan,” katanya di sini, hari ini.

Beliau percaya kedai runcit berkonsepkan KR1M akan memberi impak positif kepada rakyat yang mahukan barangan keperluan pada harga yang rendah.

Katanya, KR1M yang diwujudkan di seluruh negara secara berperingkat bermula tahun 2011, ditutup sejak September 2017.

“Difahamkan, penutupan itu ada kaitan dengan pengumuman kerajaan untuk menamatkan kontrak pengendali kerana menjual barang lebih mahal daripada harga pasaran. Namun, kerajaan perlu memikirkan penyelesaian untuk membolehkan konsep itu diperkenalkan semula,” katanya.

Menurutnya, pengendali kontrak yang sesuai dan mampu menjayakan kedai runcit ala KR1M wajar dicari kerana jika diurus dengan baik mampu membantu meringankan beban rakyat berpendapatan rendah di bandar dan luar bandar.

Selain itu, katanya kedai demikian dapat menangani isu kenaikan harga barangan, selain menepati kehendak masyarakat yang mahukan barangan keperluan harian berkualiti pada harga rendah. – HARAKAHDAILY 3/12/21.

Tiada ulasan: